Berang Makanan Tidak Disediakan, Pemandu Lori Belasah Teman Wanita Guna Lesung Batu & Besi Buaian

Di Butterworth, Pulau Pinang seorang pemandu lori telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki membelasah teman wanitanya menggunakan lesung batu dan besi buaian sehingga mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan dan kepala sebelum dikejarkan ke hospital.

Mangsa kuat bebel

Menerusi laporan yang dipetik daripada Malaysia Kini, suspek dikatakan terlalu berang dengan teman wanitanya yang juga merupakan seorang janda itu gara-gara dia tidak menyediakan makan malam.
Bukan itu sahaja, suspek yang berusia 47 tahun dipercayai tidak tahan dengan perangai mangsa yang suka membebel dan membebankan. Suspek pada ketika itu tidak berfikir panjang terus bertindak memukul mangsa.

Berang sebab makanan tak disediakan

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Superintendan Mohd Mustafa Bidin berkata, pasangan kekasih ini telah bersekedudukan sejak tiga tahun yang lalu dan disebabkan itu suspek menanggung segala perbelanjaan rumah.
Lebih membebankan apabila suspek juga menyara tiga orang anak teman wanitanya dan dua orang cucu. Kesemua mereka dikatakan telah tinggal di bawah satu bumbung sehingga memberi tekanan kepada suspek.
Suspek dan teman wanitanya itu kerap bergaduh dan kejadian pagi tadi adalah paling teruk kerana suspek yang baru balik bekerja kira-kira pukul 1 pagi mendapati mangsa tidak menyediakan makanan dan sebaik bangun tidur dia bertanyakan kepada mangsa, namun wanita berkenaan marah-marah serta membebel sebelum lelaki itu naik angin dan memukulnya.

Suspek direman

Menurut sumber, suspek dikatakan sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak yang tinggal di Bedong, Kedah. Apa yang lebih mengejutkan apabila isteri suspek langsung tidak mengetahui suaminya itu mempunyai teman wanita.
Sementara itu, pihak polis terus bergerak ke lokasi kejadian sebaik sahaja selepas menerima laporan daripada jiran tetangga yang memaklumkan tentang pergaduhan yang berlaku di rumah pasangan itu.
Semasa polis sampai di lokasi terdapat beberapa tompokan darah di atas lantai dalam rumah, kawasan tempat letak kereta dan depan rumah. Pasukan forensik turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan berpandukan maklumat daripada lelaki itu, polis merampas lesung batu serta besi buaian kanak-kanak yang digunakan sebagai senjata untuk memukul teman wanitanya.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk mendapatkan rawatan dan hasil daripada rawatan mendapati tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan. Suspek kini telah ditahan dan akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Post a comment

0 Comments