Autisme Bukan Penghalang Untuk Cemerlang SPM



SUNGAI PETANI - Seorang pelajar autisme dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena diumumkan sebagai salah seorang calon cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) negeri Kedah apabila memperolehi A dalam lima mata pelajaran.
Muhammad Muslim Ahmad Shukari memperolehi A bagi mata pelajaran Matematik, Sains dan Pendidikan Islam dan A- untuk Bahasa Melayu serta Pendidikan Seni Visual.
Ibunya, Lafdziyah Mohd Marzuki, 47, berkata, anak kedua daripada lima beradik itu pada mulanya tidak menunjukkan minat terhadap pelajaran ketika sekolah rendah.
"Namun sejak tingkatan satu, pencapaiannya mengejutkan apabila cikgu beritahu dia mendapat keputusan cemerlang bagi mata pelajaran Sains peringkat sekolah selain minat terhadap Matematik," katanya ketika ditemui Sinar Harian di SMK Ibrahim hari ini.
Dalam pada itu, Muslim yang bercita-cita menjadi arkitek berharap dapat melanjutkan pelajaran dalam jurusan senibina.
Muslim berkata, kesukaran untuk bersaing dengan rakan aliran normal dijadikan pembakar semangat untuk terus berusaha dan memperoleh keputusan terbaik.
"Kawan-kawan bagi semangat dan ajar saya, terima kasih banyak-banyak. Teknik belajar saya ialah ikut jadual setiap hari, sentiasa berdoa dan buat ulang kaji secara berkumpulan," katanya.
Selain Muslim, seorang lagi calon istimewa terbaik negeri ini adalah Samuel Lau Zhi Hang dari SMK Air Merah, Kulim dengan keputusan 9A (2A+ dan 7A).
Pada majlis itu, enam pelajar cemerlang negeri Kedah turut diumumkan iaitu Nur Wardina Mat Akhir dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Kubang Pasu yang memperolehi 11A+, Chen Ying Yan dari SMK Ibrahim (11A+), Dhanya Ravintharan dari SMK Sultan Badlishah (11A+), Chua Shang Hang dari SMK Ibrahim (10A+), Kavinah Veenayagam dari SMK Ibrahim (10A+) dan Aisyah Sofiyya Hassan dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mohamad Jiwa (9A+).
Keputusan SPM peringkat Kedah diumumkan Pengarah Pendidikan, Abd Aziz Selaiman di Dewan Tunku Ibrahim, SMK Ibrahim hari ini.
Sementara itu, Nur Wardina berkata, amalan bangun tahajud setiap malam untuk berdoa dan mengulang kaji pelajaran antara rutin dilakukannya.
"Sejak tingkatan empat, saya amalkan rutin bangun seawal jam 4 pagi untuk solat, berdoa dan belajar bersama rakan sebaya sebagai persediaan menempuh peperiksaan sekali gus menjadikan dirinya lebih cergas untuk masuk ke kelas setiap pagi.
"Pencetus semangat saya ialah kedua ibu bapa yang banyak berkorban serta rakan dan guru yang banyak membantu," katanya.

Post a comment

0 Comments