Adik Bunuh dan Simen Mayat Abang Dalam Tong


MAYAT lelaki dipercayai dibunuh adik lelakinya sendiri yang ditemui dalam tong air biru yang disimen di tepi rumah mereka di Kampung Padang Hassan, Kepala Batas, hari ini.
Mayat Mohd Hasnul Nizar Khairul Anuar, 34, ditemui dalam tong berkenaan, jam 7 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, mayat mangsa ditemui selepas pihaknya menahan suspek berusia 25 tahun yang juga adik mangsa.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati adik mangsa tidak sedap hati dan menceritakan apa yang berlaku kepada seorang lagi abang mereka.
“Berikutan itu, abang mangsa menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu.
“Susulan kejadian, anggota kami menahan suspek dan menemui tong berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.
Sapii berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh pada petang Jumaat lalu.
Beliau berkata, berikutan itu, pihaknya merampas pelbagai barangan termasuk pisau dan kereta sorong yang digunakan untuk pembunuhan itu.
“Si mati tidak bekerja, manakala adiknya iaitu suspek pula bekerja sebagai penjual ayam goreng.
“Berdasarkan siasatan awal, punca kejadian disebabkan baju yang diberi teman wanita suspek sering dipakai abang menyebabkan adiknya berang. Namun, siasatan masih dijalankan,” katanya.
Sapii berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, tong itu dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Post a comment

0 Comments