[VIDEO] Berang Konvoi Motor Salahguna Lorong Tol, Pengajaran Pakcik Tol Buat Netizen Terhibur.

“SAYA hanya ‘cepuk’ (pukul) sikit saja untuk memberi pengajaran kepada penunggang motosikal itu dan rakannya yang lain kerana tidak mengendahkan arahan supaya menggunakan laluan yang disediakan,” kata Mohammad Yahya, 58.
Mohammad Yahya adalah pengawal keselamatan di Plaza Tol Kampung Lekir, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Sitiawan yang videonya melarang sekumpulan ‘mat motor’ memasuki laluan tol berpalang, tular di laman sosial.

Mohammad berkata, kejadian berlaku pada 6.30 petang ahad, membabitkan lebih 50 penunggang motosikal yang dipercayai dari luar daerah Manjung.
“Mereka dipercayai berkonvoi beramai-ramai dan sebaik sampai di plaza tol mereka tidak mahu ikut laluan yang disediakan untuk motosikal sebaliknya melalui laluan tol berpalang.
“Kami sudah melarang, malah cakap elok-elok sebelum sebahagian mereka akur dan lalu di laluan motosikal, namun sebahagian lagi masih berdegil,” katanya ketika ditemui hari ini.
Katanya, tindakan kumpulan itu juga menghalang laluan kereta sehingga menyebabkan beberapa kenderaan lain terpaksa berhenti di laluan berkenaan.

“Saya lihat mereka seolah-olah tidak takut dan sebab itu saya terpaksa tinggikan suara dan ‘cepuk’ seorang penunggang motosikal tetapi tidaklah kuat pun, tangan saya juga terkena topi keledar dia.
“Mungkin mereka beranggapan lebuh raya ini tidak sesak dengan kenderaan jadi boleh buat sesuka hati.... tidak boleh begitu, kita perlu ikut peraturan dan lorong yang betul,” katanya yang turut memaklumkan ada penunggang yang melakukan aksi angkat motosikal selepas berjaya melepasi palang tol.
Menurut Mohammad, dia mengakui tiada niat mahu berkasar sebaliknya menganggap apa yang dilakukan itu sebagai pengajaran kepada mereka selepas arahan yang diberikan tidak diendahkan kumpulan berkenaan.
“Saya minta maaf kalau ada pihak yang tidak senang dengan tindakan saya, tetapi perbuatan mereka perlu diberi pengajaran kerana tidak menggunakan laluan yang betul sehingga mengganggu pengguna kenderaan lain.

“Lagipun ia sudah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengawal keselamatan di sini dan kalau dibiarkan saja sudah semestinya tidak elok, malah kejadian sama boleh berulang atau ditiru orang lain pula,” katanya.
Tindakan kumpulan penunggang motosikal itu turut menyebabkan siren kecemasan di laluan bertol berbunyi, selain mengganggu pengguna kenderaan lain.
Menerusi rakaman video itu, ada penunggang motosikal berjaya melepasi laluan tol berpalang apabila palang itu ‘terbuka’ dan ada yang melalui celahan pada bahagian tengah palang tol.

VIDEO




REAKSI NETIZEN


Post a comment

0 Comments