Rakyat Malaysia pertama positif koronavirus dianggar telah berjumpa 100 individu di Kedah, Kelantan

SEORANG lelaki berusia 41 tahun yang baru pulang dari menghadiri mesyuarat di Singapura disahkan menjadi warga Malaysia pertama menghidap koronavirus.
Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, lelaki itu telah bertemu dengan delegasi dari China, malah ada di antaranya datang dari Wuhan.
Selepas pulang dari Singapura, pesakit kemudian dikatakan telah pergi ke Sungai Petani dan Kelantan bersama isterinya semasa cuti Tahun Baharu Cina, dan dalam masa yang sama menunjukkan gejala-gejala berkemungkinan dijangkiti koronavirus, lapor Sin Chew Daily.
Disebabkan gejala yang ditunjukkan pada masa itu hanyalah seperti selesema biasa selepas dia mengalami demam dan batuk, dia hanya pergi ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan pada 23 Januari lalu.
Selepas itu, lelaki berkenaan merayakan Tahun Baharu Cina dengan keluarganya di kampung halamannya di Sungai Petani, Kedah. Mereka juga mengambil gambar keluarga bersama-sama.
Dia kemudian pergi ke Kelantan untuk melawat keluarga sebelah isterinya, sebelum kembali ke Sungai Petani untuk menghadiri majlis 'reunion' dengan rakan-rakannya.
Lelaki itu diasingkan di Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari lalu, selepas dia disahkan positif koronavirus.
Lelaki itu didakwa mempunyai kontak dengan tidak kurang dari 100 orang sepanjang membuat perjalanan di Malaysia dalam tempoh perayaan. -WOB

Post a comment

0 Comments