Pesanan Terakhir Abam Bocey Buat Adik Ipar Bikin Hiba


SABAK BERNAM: “Dia (Abam Bocey) bersemangat untuk hadir majlis perkahwinan saya yang akan berlangsung hujung bulan ini.
“Malah, dia sempat menasihatkan saya supaya menjaga diri dan bakal isteri. Tak sangka dia pergi buat selama-selamanya,” kata Muhammad Zainuddin Mohd Ali, 26.
Muhammad Zainuddin adalah adik ipar kepada pelawak popular, Abam Bocey, 32, yang meninggal dunia di kediamannya di Gombak, Selangor kira-kira jam 8.30 pagi hari ini dipercayai akibat demam panas.
Difahamkan, kejadian itu disedari isterinya yang juga kakak kepada Zainuddin, Siti Nurhidayah Mohd Ali, 28, apabila Allahyarham tidak bangun ketika dia mengejutnya untuk solat Subuh.
Abam yang juga anggota kumpulan Bocey dikatakan, demam sejak dua hari lalu, namun tidak mendapatkan rawatan di hospital.
Zainuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa Allahyarham ketika cuti Tahun Baharu Cina di rumah keluarganya di Taman Air Manis, Sabak Bernam.
“Arwah sempat menikmati juadah mentarang bersama kami sekeluarga. Kebetulan, ayah saya (Mohd Ali Bahtin, 67) bawa pulang mentarang itu dari Pulau Pinang.
“Malah, arwah sempat bermalam sehari di rumah kami dan sebelum pulang ke Gombak, dia belanja kami sekeluarga makan ikan bakar di Hutan Melintang, Perak,” katanya ketika dihubungi.
Zainuddin berkata, dia menerima berita pemergian Allahyarham daripada Siti Nurhidayah kira-kira jam 8 pagi sebelum bergegas ke Hospital Selayang bersama keluarga.
Katanya, Allahyarham bersungguh-sungguh untuk hadir ke majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada 29 Februari ini.
“Arwah gembira apabila mendapat tahu saya akan berkahwin. Dia peluk saya sambil berkata, ‘Kau punya kenduri, aku datang punya’.
“Arwah seorang yang baik, ramah dan mesra. Dia seorang ketua keluarga yang bertanggungjawab kepada kakak dan anak selain memberi kata-kata semangat pada ahli keluarga.
“Kehilangan arwah dirasai seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan peminat yang akan merindui gelagat dan keletahnya,” katanya.
Terdahulu, jenazah akan dibawa ke Masjid Gombak Utara untuk disolat sebelum dikebumikan, hari ini.
Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffery yang kini berusia lima bulan.
Dalam kumpulan Bocey, selain Abam, ia turut dianggotai Fad dan Acey.

Post a comment

0 Comments