Pasangan Kekasih Kantoi Bersekedudukan Apabila Tertinggal Kunci Pada Tombol Pintu Bilik

PASANGAN kekasih yang bersekedudukan di dalam bilik hotel bajet di Padang Temusu, Sungai Petani, kantoi apabila tertinggal kunci pada tombol luar pintu bilik berkenaan.
Lelaki berusia 22 tahun yang juga pelajar institusi kemahiran awam ditahan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bersama pasangannya berusia 20 tahun dalam Operasi Bersepadu bersempena ‘Hari Kekasih’ yang diadakan sekitar daerah Kuala Muda malam tadi.
Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JAIK, Sheikh Radzi Abdul Mutalib berkata, siasatan mendapati pasangan itu tidak mempunyai hubungan sebagai suami isteri yang sah.
“Mereka mendakwa hanya singgah dalam tempoh dua jam sahaja di hotel itu dan tidak berniat untuk buat apa-apa.
“Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk proses tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Sungai Petani, hari ini.
Sheikh Radzi berkata, selain pasangan terbabit, JAIK menahan empat lagi pasangan lain berusia antara 20 sehingga 30 tahun dalam operasi yang berakhir jam 4 pagi tadi.
Menurutnya, operasi disertai 75 anggota penguatkuasa dari JAIK, Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda dan Cawangan Penyiasatan Khas (CPK) ATM.
Katanya, mereka yang ditahan boleh didakwa di bawah Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Post a comment

0 Comments