Mufti Wilayah Tunai Solat Hajat Dan Doa Khusus Demi Perpaduan Malaysia



Semalam, media arus perdana negara melaporkan kemungkinan akan berlaku perubahan pimpinan tertinggi kerajaan negara kita dengan beberapa mesyuarat kumpulan-kumpulan utama politik telah berlangsung di sekitar ibu negara untuk membincangkan perkara tersebut.
Desas-desus itu bukan sahaja mencetuskan perbincangan dan perdebatan dalam kalangan masyarakat  yang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke 14 yang lalu, tetapi turut mendapat perhatian Tuan Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad.
Dalam satu kiriman yang dibuat di laman Twitter pada lewat petang semalam, Dr Zulkifli memuat naik sekeping gambar doa bertulis tangan yang ditujukan kepada negara, rakyat dan para pemimpin.
“Bismillahirahmanirrahim. Doaku semoga Allah SWT kurniakan Malaysia sentiasa dalam aman, begitu juga dengan para pemimpin diberi taufiq, hidayah dan sabar.
“Ya Allah berikan kepada kami rasa cintakan negara, kukuhkanlah perpaduan kami.”
Ketika perbincangan dalam kalangan pemimpin politik negara masih berlangsung dan hangat diperkatakan di media-media sosial, Tuan Mufti pada sebelah malamnya sekali lagi memuat naik sekeping gambar beliau menunaikan solat hajat bagi memohon keamanan dan kesejahteraan Malaysia.
Semalam, arena politik negara dikejutkan dengan desas desus bakal berlaku perubahan dalam pimpinan kerajaan persekutuan dengan beberapa parti politik dikatakan telah bermesyuarat bagi menentukan perkara tersebut.
Apa sekali pun yang berlaku, kita berharap agar pihak kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan memastikan negara kita berada dalam keadaan aman dan sejahtera seperti yang didoakan Tuan Mufti kita.

Post a comment

0 Comments