Isu Umrah Kontroversi. Ini Pesanan Mufti Buat Sajat Dan Semua Umat Islam


KUALA LUMPUR: Perbuatan golongan transgender (mukhannas) menunaikan umrah secara tidak mengikut jantina asal mereka, adalah haram dan dikira berdosa.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, sambil merujuk isu ahli perniagaan kontroversi, Muhammad Sajad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat, menjelaskan sekalipun mematuhi rukun, beliau boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah.
Katanya, perkara itu bertepatan dengan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-28 Musim Haji 1433H dalam kertas kerja bertajuk ‘Khunsa Dan Mukhannas Dalam Permasalahan Ibadat Haji’.
“Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas semula jadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu itu termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak sebagaimana termaktub dalam al-Quran dan hadis, untuk beribadah serta berpakaian seperti lelaki,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan melalui laman sosial Facebook rasmi beliau, hari ini.
Kontroversi tercetus apabila usahawan kosmetik itu mengenakan pakaian jemaah wanita ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah sehingga tular dalam media sosial.
Zulkifli turut mengesyorkan Muhammad Sajjad menzahirkan diri sebagai seorang lelaki dan beribadat kepada Allah SWT dengan istiqamah sementara berada di Tanah Suci Makkah serta Madinah.
“Saya mendoakan semoga Allah SWT mengurniakan kebaikan, taufik dan hidayah kepada Muhammad Sajjad dan jadikanlah umrah kali ini satu titik perubahan dalam kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan sedikit sebanyak memberi persepsi negatif kepada negara memandangkan imej Malaysia dihormati dunia Islam dari aspek pengurusan haji dan umrah yang amat sistematik.
“Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara.
“Sebarang tindakan dilakukan jemaah haji dan umrah, boleh memberi impak kepada hubungan baik serta kerjasama Malaysia dengan Arab Saudi.
“Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetus sangkaan buruk terhadap Malaysia,” katanya.
Zulkifli memaklumkan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) yang mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), semalam, mendapati butiran jantina Muhammad Sajjad dalam kad pengenalan didaftarkan sebagai lelaki.

“Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.
“Hingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan dikemukakan Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita.
“Berdasarkan arahan JPN bilangan 9/2007 perenggan 5.7.1., pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah,” katanya.
Justeru, Zulkifli berkata, pendirian PMWP mengenai jantina Muhammad Sajjad ialah berdasarkan maklumat tertera dalam daftar kad pengenalan dan sijil kelahirannya.

Post a comment

0 Comments