Hikmah Dipenjara, Farid Kamil khatam al-Quran sebulan



KUALA LUMPUR: Lebih dua bulan dipenjara, Datuk Farid Kamil mengaku banyak mengisi masa mendekatkan diri kepada Allah, malah khatam al-Quran dalam tempoh sebulan.
Pelakon, penerbit dan pengarah itu memberitahu, dia banyak terbabit dalam aktiviti kerohanian yang tidak pernah dilakukannya dahulu.

REALITINYA BERBEZA


Pada hari pertama dan kedua dalam tahanan, saya membayangkan situasi sama seperti yang saya lihat dalam filem Hollywood. Namun, realitinya berbeza.
“Berada di dalam penjara adalah satu pengalaman yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Saya belajar menilai diri sendiri. Lebih membuatkan saya terharu adalah cara orang di sana menerima kehadiran saya.

KHATAM DALAM MASA SEBULAN

“Saya juga melakukan perkara yang jarang saya buat ketika di luar iaitu bangun tengah malam untuk menunaikan solat Tahajud. Saya juga mengaji al-Quran hingga khatam dalam tempoh sebulan.


“Saya tak rasa apabila kita berada di luar dunia luar, kita mampu melakukan perkara seperti itu,” katanya selepas majlis pelancaran Sifu International Enduro Championship 2020 dan treler Remp-it 2 di sini, hari ini.
Biarpun tragedi yang berlaku memberi kesan kepada jiwanya, namun, Farid atau nama penuhnya, Farid Kami Zahari, lebih selesa melihatnya dari sudut positif.
“Saya mengaku hukuman dilalui menerbitkan sedih, terkilan dan rasa ‘terbang’ jauh. Namun, saya mengaku ini adalah cara Tuhan menunjukkan sesuatu kepada saya.


“Saya kena lalui detik mencemaskan sebelum Tuhan memberikan sesuatu yang lebih baik. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang terjadi,” katanya.
Pada 15 Mei tahun lalu, pelakon, penerbit dan pengarah itu dikenakan hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC)
Selepas menjalani hukuman di Penjara Kajang, Farid dibenar menangguhkannya sehingga rayuan selesai.
Bintang Lagenda Budak Setan itu bagaimanapun perlu membayar jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, manakala pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.


Ketika diuji, timbul spekulasi mendakwa rumah tangga Farid bersama isteri, Datin Diana Danielle berantakan. Diana dikatakan tidak boleh menerima hakikat yang berlaku terhadap suaminya.
“Perkara itu tidak benar sama sekali. Sejak kami berkenalan, mendirikan rumah tangga dan ditimpa malapetaka ini, Diana dan anak-anak memberi sokongan tidak berbelah-bahagi.
“Mereka adalah sumber kekuatan. Saya tidak tahu bagaimana mahu meluahkan perasaan ini atas apa yang Diana sudah buat untuk saya,” katanya.
Tambah Farid, ada pihak menjauhkan apabila dia ditimpa musibah itu.
“Saya mengaku tindakan mereka itu. Saya tidak mahu ada aura negatif dalam hidup saya. Kepada yang masih bersama saya dan yang baru menjadi kawan, saya sangat menghargainya.
“Sekurang-kurangnya, saya boleh menilai mana putih dan hitam yang mengelilingi hidup saya,” katanya.


Mengulas mengenai Remp-it 2 yang menjadi filem pertama terbitan syarikatnya, FKX Film, Farid berkata, filem itu sedang dinilai Lembaga Penapisan Filem (LPF).
“Mengikut perancangan awal, filem ini menemui penonton pada 20 Februari ini. Namun, disebabkan penahanan saya, proses untuk menyiapkannya terbantut.
“Jadi, saya terpaksa menangguhkan tarikh tayangan kepada Ogos depan,” katanya.
Selain Farid, pelakon lain yang membintangi filem berkenaan adalah Niezam Zaidi, Julia Hana dan anak sulung Farid, Muhammad yang berusia tujuh tahun.

Post a comment

0 Comments