Dr Li Wenliang, doktor yang beri amaran tentang koronavirus meninggal dunia


BEIJING: Dr Li Wenliang, doktor di Wuhan, China yang telah memberi amaran tentang kewujudan koronavirus baharu (2019-nCoV) dilaporkan meninggal dunia.

Memetik laporan media antarabangsa, doktor berusia 34 tahun itu menghembuskan nafas terakhir pada Khamis selepas disahkan mendapat jangkitan koronavirus pada 1 Februari lalu.

Beliau sebelum itu mengalami demam dan batuk-batuk sejak 10 Januari akibat dijangkiti salah seorang pesakitnya.

Dr Li merupakan antara mereka yang terawal bercakap mengenai koronavirus berkenaan sebagai ancaman awam.

Sementara itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan mengucapkan takziah atas pemergian Dr Li.

“Kami amat sedih atas pemergian Dr Li Wenliang. Apa yang kita perlu buat ialah meraikan usaha yang telah dilakukannya,” kata Pengarah Eksekutif WHO, Dr Mike Ryan.

Pada 30 Disember lalu, Dr Li memberi peringatan kepada rakan-rakannya dalam aplikasi mesej WeChat supaya berhati-hati susulan kejadian di sebuah pasar makanan laut di tempatnya.

Katanya, tujuh individu yang makan di pasar itu telah jatuh sakit dan didiagnosis dengan penyakit pernafasan yang serius serta dikuarantin di hospital tempat dia bekerja.

Dr Li memberitahu rakan-rakannya, ujian yang dilakukan menunjukkan pesakit dijangkiti sejenis virus yang mempunyai simptom sama seperti SARS (sindrom pernafasan akut yang teruk).

Beliau menasihati rakan-rakannya agar memberi amaran kepada ahli keluarga secara peribadi, tetapi tidak lama selepas itu, paparan skrin (screenshot) mesej yang dihantarnya menjadi tular.

Bagaimanapun, kerana tindakannya itu, beliau dituduh menyebarkan khabar angin dan dipanggil oleh pengurusan hospital untuk menjelaskan bagaimana dia tahu tentang virus itu, sebelum dipanggil ke balai polis tempatan kerana menyebarkan khabar angin.

Dr Li kemudiannya dilaporkan menandatangani satu kenyataan yang memperakui dia melakukan kesalahan dan berjanji tidak akan mengulanginya, sebelum dibebaskan.

Dia yang merupakan pakar mata, kembali bekerja selepas itu. Tanpa pengetahuannya, salah seorang pesakit yang dirawatnya adalah pembawa virus.

Selepas mengalami batuk, demam dan kesukaran bernafas, Dr Li dimasukkan ke unit rawatan rapi dan disahkan positif koronavirus pada 1 Februari lalu.

Post a comment

0 Comments