[VIDEO] Makan Berlaukkan Telur, Air Kosong jadi kuah, Katil Berlapik Bata. Sekolah Pondok Mohon Bantuan


PASIR PUTEH - Nasi putih berlauk telur goreng dengan air kosong antara hidangan yang dinikmati 80 pelajar di sebuah sekolah pondok daif di Bukit Gedombak dekat sini.
Menu tersebut terpaksa dihidangkan kepada mereka jika tiada lauk-pauk sumbangan orang ramai atau pihak pengurusan tidak mampu membelinya.
Walaupun menu itu tidak selalu dijadikan hidangan namun kesusahan dihadapi pelajar pusat tahfiz berusia 8 hingga 20 tahun itu menyentuh perasaan.
Seorang pelajar, Hakimi Fakrulrazi, 10, berkata, selama belajar di situ dia pernah makan nasi bersama telur goreng berkuah air putih.
Hakimi bagaimanapun tidak mengambil kisah lauk itu dihidangkan disebabkan tiada lauk lain atau pihak pengurusan tidak mampu menyediakan hidangan lain.
Lebih menyedihkan, pelajar juga terpaksa hidup dalam serba kekurangan dengan katil patah berlapik batu manakala ruangan mengaji tidak begitu sempurna kerana hanya menggunakan meja usang diperbuat daripada papan lapis dan kayu.
Bagaimanapun, mereka menganggap kesusahan itu sebagai ujian untuk terus belajar ilmu agama dan bergelar hufaz.
Bagi Muhammad Hamzah Mohd Zubaidi, 13, yang hampir dua minggu belajar di situ memberitahu dia seronok berada di pondok tersebut kerana mahu mencapai impian menjadi seorang penghafaz al-Quran.
“Saya seronok belajar di sini dan mahu mendalami al-Quran,” katanya.
Ketika kunjungan media ke pondok tersebut seorang pelajar Nik Azid Amani Nik Ishar Zamani sempat berseloroh mahu menikmati ayam kentucky fried chicken (KFC).
Pelajar berusia 11 tahun itu yang sudah hampir dua bulan belajar al-Quran memberitahu ada di antara kawan-kawannya yang lain terlalu mengimpikan untuk menikmati KFC.
Sementara itu, mudir pondok terbabit, Zakir Zakaria berkata, pihaknya menerima bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sebanyak RM10,000 setahun namun masih belum mencukupi.
“Kami memerlukan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan manakala RM100 diperlukan untuk belanja makan sehari.
“Beras dan lauk kadang-kadang didermakan oleh orang ramai dan juga orang korporat. Saya pun sedar di sini serba tidak cukup tetapi kita mengajar dengan penuh ikhlas seperti anak-anak sendiri. Mereka pun seronok,” katanya.
Katanya, demi mendalami al-Quran dan mahu melahirkan lebih ramai penghafaz al-Quran, beliau sanggup menerima pelajar tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Kita kenakan yuran bulanan sebanyak RM100 sebulan untuk menampung belanja anak-anak di sini tetapi ramai yang tidak mampu dan miskin. Kami tetap terima mereka,” katanya.
Katanya, beliau mengajar pelajar dewasa memasak mengikut giliran dan setakat ini mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.
Pondok berkenaan sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu di atas tanah wakaf dan bergantung sepenuhnya kepada sumbangan ramai.
Orang ramai yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Madrasah Darul Uluum (03-0900-1006-2594) menerusi Bank Islam.

Post a Comment

0 Comments