Seolah Dapat Anak Kembali, Wanita Kongsi Detik Cemas Anak Kena Influenza A & Sawan


Membesarkan bayi dan kanak-kanak hari ini bukan lagi perkara mudah. Banyak cabaran dan ujian terpaksa dilalui ibu bapa terutama dari segi penjagaan kesihatan serta pencegahan penyakit. Tidak kira sama ada di Malaysia atau luar negara, ancaman penyakit berjangkit selalu dekat dengan bayi dan kanak-kanak berikutan sistem imun mereka yang masih rendah berbanding orang dewasa. Betul tak?
Menerusi Facebook Kinakira Awg, wanita ini berkongsi detik cemas yang terpaksa dia dan suami berdepan apabila anak mereka disahkan terkena jangkitan Influenza A.

Sakit kaki tak boleh jalan


Sekadar gambar hiasan
Long post! Influenza Alert! Influenza outbreak, kehabisan ubat, anak kaku di pangkuan. Khamis 9/1/2020 akan dalam ingatan kami selamanya. Rabu, 8/1/2020. Eiyad ke sekolah dengan Emir dalam keadaan yang sihat. Tiada demam, selsema dan batuk. Namun, jam 4.30 ptg teacher call kata Eiyad sakit kaki tak boleh berjalan. Kami ambil Eiyad. Masa tu dia dah mula dedar. Malam suhu dia dah naik tinggi. Bawa ke klinik on PCM.
Keesokannya khamis, suhu Eiyad masih tinggi. PCM atau ubat cucuk bontot tu langsung tak memberi kesan pada suhu tinggi Eiyad. So, kami decide ke klnik lain pula sebab dah rasa tidak sedap hati. Jam 5.30 petang kami ke Poliklnik Mega Zahran. Sampai saja di klinik suhu terlalu tinggi, jadi doktor minta mandikan Eiyad dulu. Lepas mandikan di klinik pun suhu masih degil. Masih tinggi. Kemudian buat test influenza dan Eiyad sah Influenza A positif. Masa itu, saya dah mula celaru macam mana nak kuarantin anak-anak.
Ebrahem yang jadi keutamaan. Ini kali kedua sejak kelahiran Ebrahem, abang-abang dijangkiti penyakit berjangkit. Sewaktu saya dalam pantang, kami sekeluarga dijangkiti rota virus. Alhamdulillah, Ebrahem terselamat daripada jangkitan yang teruk ketika itu. Now, dalam masa 4 bulan sekali lagi Allah uji kami dengan influenza. Hati menangis fikirkan keselamatan anak-anak. Fikirkan juga tentang cuti kerana baru sahaja masuk sekolah. Tapi harus kuat dan cekal. Jangan menangis!

Kebanyakan klinik kehabisan ubat

Bila doktor sahkan Eiyad positif influenza A, kami masuk ke bilik doktor untuk berbincang tindakan seterusnya. Hampir longlai saya ketika itu bila doktor pegang kepala berkata kepada kami “saya tak tahu bagaimana lagi harus saya bantu kamu Mama, kami kehabisan ubat” Saya cakap pada doktor ” Kalau macam tu dekat mana saya harus cari ubat tu?” Doktor kata.. “saya x pasti.. tapi kita cuba cari dulu”. Bermulalah episod menelefon sana dan sini. Habis segala klinik, farmasi dan private hospital sekitar Semenyih, Bangi, Kajang, Putrajaya dan Nilai kami call untuk cari ubat influenza (Tamiflu) dan vaksin influenza.
Hanya tamiflu ini boleh bantu demam influenza reda dengan cepat. Kalau hanya guna PCM demam yang tinggi ini lambat untuk pulih mungkin mengambil masa 7-10 hari. Kami tidak mahu ambil risiko itu. Jadi hati kuat berdoa semoga Allah pertemukan juga kami dengan tamiflu. Doctor di Zahran pesan, carilah tamiflu sampai jumpa. Kalau jumpa yang tablet pun tak apa, kami boleh bancuhkan. Jam 7.30 malam, kami keluar dari klinik Zahran. Tangan tidak henti-henti search klinik dan farmasi. Syukur, dalam duk call klinik tanya ada vaksin influenza ke tidak, ada ubat tamiflu ke tak, ada satu klinik di Nilai yang masih ada bekalan vaksin influenza.
Klinik Siti. Kami bergegas ke sana dengan harapan nak vaksin Emir dan Ebrahem yang masih sihat ketika itu. Sampai di klinik, semua orang tengah cari vaksin, mujur saya dah book siap-siap semasa call. Kalau tidak, tiada juga rezeki. Dahsyat keadaannya macam dalam cerita zombie. Tetapi malangnya, Emir dan Ebrahem tidak boleh ambil shot tu sebab dah ada contact dengan Eiyad. So, doktor tidak sarankan. Ebrahem pun belum cukup 6 bulan. Jadi tak boleh ambil. Jadi berebutlah orang nakkan vaksin yang kami tak jadi ambil tu.

Siapkan bilik kuarantin


Sekadar gambar hiasan
Eiyad menunggu dalam kereta dan suhu masih sangat panas. Tapi Allah tidak jadikan kedatangan kami ke klinik itu sia-sia. Saya tanya di kaunter ubat sekali lagi ada tak tamiflu. Mula-mula saya call diaorang kata hanya ada bekalan vaksin, ubat dah kehabisan. Namun rezeki Eiyad nyata tertulis di klinik tu. Ada satu papan last lagi tamiflu tablet. Allah, syukur kami beli dengan harga sepapan (10 biji RM80). Jam 8.30 malam kami bergerak balik kerumah dulu. Sebab Eiyad terlalu panas dan berada dalam kereta dalam tempoh yang lebih lama akan meningkatkan lagi risiko jangkitan pada yang belum kena.
Sampai rumah, kami rendamkan Eiyad dalam baldi hampir 30 minit. Papa keluar semula ke klinik Zahran untuk bancuh ubat tamiflu. Saya siapkan bilik kuarantin untuk Eiyad di sebelah. Selesai berendam, saya suapkan Eiyad makan. Dia minta macaroni sup, sempat dia makan sedikit. Suhu pun sudah menurun. Eiyad masih bercakap macam biasa ketika itu. Ebrahem menangis hendak tidur, saya cakap dengan Eiyad yang mama tidurkan Ebrahem sekejap. Eiyad angguk “Eiyad tunggu mama tau”. Masa tu risau dah tinggal dia dalam bilik sorang-sorang, tapi Ebrahem perlu ditidurkan dahulu.
Syukur tak lama selepas itu, Papa balik dari klinik dan papa take over tengok Eiyad dan bagi makan ubat. Jam 10 malam, Emir dan Ebrahem dah tidur. So, kami berdua boleh fokus pada Eiyad. Rasa tenang ketika itu. Sebab dah set mind kena all out untuk Eiyad. Ubat pun dah ada. Saya rehatkan Eiyad. Baringkan dia menegak. Saya balutkan dia dengan tuala basah. Eiyad merengek, dia tak suka tuala basah. “Mama, Eiyad tak suka tuala basah, Eiyad sejuk”.

Mata terbeliak dan mulut terkacip


Sekadar gambar hiasan
Saya tenangkan Eiyad minta dia bertahan. Lepas tu saya pergi on kan diffuser jadi mata tidak tumpu pada Eiyad. Diffuser tak boleh on pulak. Jadi saya pergi cari satu lagi. Tengah duk kalut nak ambil diffuser lain, suami menjerit cemas. “Biee… Eiyaddd” Suami pangku Eiyad.. sambil jerit.. Allah Allah Allah, saya blur dan saya tak pasti apa yang berlaku. Saya berlari ke arah suami dan saya ambil Eiyad dari pangkuan suami. Saya rangkul dia dan saya tengok Eiyad dah keras. Mata terbeliak ke atas. Mulut terkacip. Kami menjerit sekuatnya. “Eiyadd, bangunn.. bangunn”. Dalam hati, kuat aku menjerit dan aku baru sahaja kehilangan ayah dan aku tak mahu kehilangan lagi.
Allah, Eiyad sawan rupanya. Kami panik. Tidak pernah handle situasi ni. Tidak pernah ada pengalaman. Allah ilhamkan kami bertindak secara logik dan terus bawa Eiyad ke bilik air, lalu pancurkan dengan air paip. Saya bukak mulut Eiyad yang terkacip dan saya tahan dengan jari saya. Bila dah tak tahan kesakitan, suami tukar dengan jari dia pula. Hampir hancur jari papa. Kasihnya seorang ayah. Dalam panik, saya ambil phone call sil Dr Nur Khadijah Muhamad Jamil, mujur kak nur angkat. Dia instruct by phone apa yang kami perlu buat.
Kak nur arahkan kami untuk iringkan Eiyad supaya dia tidak tersedak dan alihkan jari papa dengan sudu yang dibalut dengan tuala serta telefon ambulans dengan segera. Kurang 10 minit, Eiyad nampak dah bagi respon. Dia dah boleh bukak mulut dia sendiri. Mata dah start berkedip. Allahhhh saya seperti dapat anak saya semula. Basah lencun kami bertiga dalam bilik air. Syukur Eiyad dah sedar walaupun sangat lemah.

Badan panas dan menggigil


Sekadar gambar hiasan
Jam 10.30 malam, kami menunggu ambulan tiba. Saya rangkul erat Eiyad. Badan dia panas menggigil. Berkali-kali saya minta maaf pada Eiyad, tak tahu kenapa. Tapi rasa nak minta maaf tak henti-henti bisik pada dia. Mama sayang Eiyad. Eiyad mengangguk lemah. Saya bercakap dengan dia untuk elakkan dia tertidur. Saya risau dia tidak sedar lagi. Tidak lama selepas itu, Eiyad cakap pada saya, “lain kali mama jangan buat lagi eh”.
Allah Eiyad dah boleh bersuara. Sekali lagi, saya rasa seperti dapat anak saya kembali. Tuhan sahaja tau betapa saya takut kehilangan dia. 10.45 malam, Ambulan tiba. Mama bawa Eiyad masuk ke dalam ambulan. Paramedik buat tindakan yang sepatutnya untuk Eiyad. Saya rasa dah lepaskan Eiyad pada tangan yang selamat. Berlalulah pergi Papa dan Eiyad dengan ambulan ke Hospital Kajang. Sampai sekarang saya masih terbayang-bayang kelip kelip lampu ambulan di depan rumah dalam keheningan malam.
Masih teringat tatkala saya dan suami membawa tubuh kecil yang sangat lemah masuk ke dalamnya. Bila ambulan bergerak tinggallah mama yang sedang trauma. Mujur ditenangkan oleh kakak-kakak jiran. Sekurang-kurangnya tidaklah rasa keseorangan sangat pada saat itu. Malam yang panjang harap tidak akan berulang lagi?

Mewajibkan vaksin influenza


Sekadar gambar hiasan
Pengajaran untuk kami sebagai ibu bapa, selepas ini kami akan mewajibkan vaksin influenza kepada anak-anak kami. Kepada ibu bapa yang lain jadilah masyarakat yang bertanggungjawab. Jika anak anda ada simptom demam atau sebagainya, tolong jangan hantar ke taska atau tadika atau sekolah. Kita semua bertanggungjawab untuk tidak menyebarkan virus atau wabak kepada anak orang lain. Kita semua bekerja. Jadi tolong jangan jadi selfish sangat. Macam kita seorang sahaja yang susah cuti.
Orang lain pun sama. Jika saya tidak mengalami sendiri situasi ini sudah tentu saya tidak sedar betapa kritikalnya isu ini. Membaca sahaja tidak sama dengan merasa. Persoalannya disini, bagaimana bekalan ubat boleh habis? Kenapa penularan influenza ini tidak di uar-uarkan secara lebih serius? Kenapa sekolah tidak ditutup? Influenza adalah penyakit berjangkit yang serius jadi kenapa ibubapa tidak diberikan kemudahan cuti kuarantin?
Saya yakin ramai lagi yang mengalami nasib yang sama seperti saya dan saya harap penularan influenza ini tidak menjadi semakin serius. Kami mahu membesarkan anak-anak kami dalam keadaan persekitaran yang selamat dan sihat. Mohon Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan melakukan sesuatu yang lebih drastik. Influenza A adalah H1N1.
Sumber: Kinakira Awg

Post a comment

0 Comments