Sekolah Menengah Sains Teluk Intan, Sekolah Pertama ditutup kerana influenza


IPOH: Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) ditutup sejak Sabtu lalu hingga 19 Januari ini, selepas lapan pelajarnya disahkan positif Influenza A (H1N1).

Susulan penutupan itu, semua pelajar sekolah terbabit yang tinggal di asrama diarah pulang ke rumah keluarga masing-masing.
Pengarah Pendidikan Perak, Dr Suhaimi Mohamed Ali, berkata penutupan sekolah berkenaan adalah yang pertama dibuat di negeri ini membabitkan jangkitan H1N1.

Katanya, tindakan itu diambil selaras dengan pematuhan yang digariskan dalam prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Tindakan ini diambil berikutan seramai lapan orang murid telah disahkan positif H1N1 oleh Pejabat Kesihatan Daerah.
“Tindakan penutupan ini dilaksanakan bagi membendung wabak ini dari terus merebak ke atas 550 orang pelajar yang sedang berada di sekolah ini.
“Pihak sekolah juga akan melakukan kerja-kerja pembersihan terutama di kawasan asrama sekolah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, sebelum ini murid yang disahkan menghidap H1N1 oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri yang membabitkan murid dan pelajar di berlainan sekolah dan di beberapa daerah di negeri ini yang dapat dikawal melalui pendekatan yang ditetapkan oleh KPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Bagaimanapun, katanya, kes terbaharu yang membabitkan sebuah sekolah berasrama iaitu SEMESTI adalah kes yang memerlukan kepada tindakan menutup sekolah berkenaan pada hari ini.

Post a comment

0 Comments