Pelancong Antara Individu Disaman Hari Pertama Larangan Merokok di Kedai Makan

Gambar hiasan
PELANCONG warga asing antara individu yang menerima notis saman pada operasi hari pertama larangan merokok di dalam premis makanan di Johor Bahru, hari ini.
Ketua Pegawai Kesihatan Persekitaran Negeri Johor, Kayrul Hidayah Mansor berkata, dua pelancong Mesir dan Singapura antara tiga perokok dan dua penghisap vape diberikan notis saman anggota penguatkuasanya.
Katanya, ia susulan operasi yang dijalankan membabitkan 150 anggota Jabatan Kesihatan Negeri Johor yang ditugaskan memantau dan mengeluarkan notis saman kepada perokok ingkar mulai 8 pagi hingga tengah malam ini.
“Tindakan mengeluarkan notis saman diambil berikutan penguatkuasaan larangan merokok dalam premis sudah bermula bermula hari ini selepas tempoh pendidikan selama enam bulan berakhir semalam,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.
Katanya, antara alasan yang diberikan pelancong asing ialah tidak mengetahui mengenai larangan merokok dalam premis dan mendakwa baharu tiga minggu di negara ini.
“Biarpun kecewa dengan notis saman itu, namun dia akur dan menerima notis itu selepas memperoleh penjelasan lanjut,” katanya.
Kementerian Kesihatan menetapkan tindakan penguatkuasaan larangan merokok dilaksanakan sepenuhnya mulai 1 Januari ini.
Individu yang melakukan kesalahan merokok di tempat larangan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Kementerian Kesihatan mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Post a comment

0 Comments