Pelajar Maut, Rakan Cedera Parah Dilanggar Lari Ketika Jalan Kaki ke Sekolah


KUALA LANGAT - Seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu maut manakala rakannya patah tangan selepas dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 11 Jalan Banting-Dengkil pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 6.40 pagi, kedua-dua mangsa sebelum itu berjalan kaki menyeberangi jalan untuk ke perhentian bas bagi menunggu bas sekolah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan rakannya dalam perjalanan untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Changgang.
“Ketika kejadian mangsa yang maut memakai pakaian seragam sekolah manakala rakannya memakai pakaian sukan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Dengkil. Selepas perlanggaran pemandu kereta melarikan diri,” katanya.
Menurut Azman, kejadian berlaku di jalan dua hala, permukaan jalan kering dan tidak hujan namun lokasi kemalangan berlaku agak gelap.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya yang cedera dihantar ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Mangsa yang maut dikenali sebagai Nur Aida Rafhanah Zaidi, 13, manakala yang cedera dikenali sebagai Aina Safiyah Saparin, 13. Kedua-dua mangsa tinggal di Kampung Olak Lempit, Banting.
“Pemandu kenderaan masih belum dapat dikenalpasti dan usaha mengesannya masih dijalankan. Saksi yang melihat kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Lau Ung Hee ditalian 0196699901,” katanya.

'Arwah seorang anak yang rajin dan penyayang'

Suasana suram menyelubungi rumah keluarga pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Canggang, di sini, Nur Aida Rafhanah Zaidi, yang meninggal dunia dilanggar lari pagi tadi.
Bapanya, Zaidi Zainal Abidin, 43, ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Olak Lempit di sini tidak dapat menyembunyikan perasaan sedih ketika berkongsi mengenai anak sulung kesayangannya berusia 13 tahun itu.
“Sifat penyayang dan ambil berat yang ditunjukkan oleh arwah anaknya itu sangat menyentuh hati mereka sekeluarga. Arwah rapat dengan saya dan isteri (Suzana Taslim, 36 tahun), dia rajin sangat, suka menolong saya dan isteri buat kerja.
"Memang kami sangat rapat, dia pula suka tolong jaga adik-adik yang lain, bergurau dan mengusik adik-adik," katanya yang bekerja kilang ketika ditemui di sini, hari ini.
Zaidi berkata, menjadi rutin harian arwah anaknya melintas jalan di lokasi kejadian setiap kali pergi dan pulang dari sekolah.
"Seperti biasa, dia akan ke sekolah menaiki basikal dan akan tinggalkan basikal di perkarangan Klinik Desa Olak Lempit, kemudian melintas jalan untuk menaiki bas ke sekolah. Setiap kali berada di lampu isyarat di situ, dia akan tekan butang, bila lampu hijau untuk pejalan kaki menyala, baru dia melintas.
"Dia sekolah petang, tapi hari ini dia ke sekolah kerana menghadiri aktiviti ko-kurikulum sukan, dia memang aktif aktiviti sebegini, lumba lari, merentas desa, hoki. Arwah anak yang baik, dia pergi.. Allah lebih sayangkan dia. Saya dan isteri reda dengan pemergiannya," katanya dalam keadaan sedih dan menitiskan air mata.
Jenazah anaknya disolatkan di rumah mereka dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Olak Lempit.
Selain saudara mara dan jiran tetangga, guru-guru serta rakan sekolah turut hadir menziarahi jenazah buat kali terakhir.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at berkata ketika kejadian mangsa memakai pakaian sekolah manakala rakannya memakai pakaian sukan menuju ke SMK Bukit Canggang.
"Kedua-dua mangsa sedang melintas jalan di lampu hijau untuk ke perhentian bas bagi menunggu bas ke sekolah sebelum dilanggar kereta yang tidak dapat dikenalpasti dan kemudian melarikan diri," katanya.
Azman berkata, akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala rakannya patah tangan kanan.

Post a comment

0 Comments