Myvi Jatuh Parit, Bayi 2 Tahun Maut Tercampak Dari Pangkuan Ibu

Di Alor Setar, seorang bayi perempuan berusia 2 tahun disahkan meninggal dunia selepas kereta yang dipandu bapanya terlibat dalam satu kemalangan. Kereta tersebut dikatakan telah terbabas sebelum masuk ke dalam parit berdekatan sawah di Jalan Titi Haji Idris.

Tercampak dari pangkuan ibu

Menerusi laporan Astro Awani, ketika kejadian kereta Perodua Myvi yang dipandu bapa mangsa dikatakan telah bertembung dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia dalam lingkungan 30-an.


Mangsa kemudian tercampak dari pangkuan ibunya ke bahagian hadapan kereta sebelum kereta itu terbabas dan terjunam ke dalam parit berkenaan. Mangsa yang berusia 2 tahun itu dikatakan terperangkap di dalam kereta berkenaan bersama kedua ibu bapanya.

Operasi menyelamat mangsa

Berikutan daripada insiden itu, penduduk setempat telah menghubungi pihak bomba untuk memaklumkan berhubung dengan kemalangan yang menimpa tiga beranak itu.


Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, sejurus sahaja menerima panggilan tersebut pihaknya terus bergerak ke lokasi kejadian untuk menyelamatkan keluarga yang terperangkap itu.
Sebaik tiba di lokasi, didapati kereta Perodua Myvi berkenaan masih berada dalam parit kawasan sawah berkenaan.
Pemandu Myvi iaitu lelaki berusia 20-an patah paha kanan dan kaki kiri, manakala penumpang wanita berusia 20-an turut cedera.

Mangsa meninggal dunia

Kesemua mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dengan bantuan orang ramai. Mereka kemudian telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Kanak-kanak tersebut walau bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan telah dihantar ke unit forensik HSB manakala bapa mangsa mengalami kecederaan parah akibat patah paha kanan dan kaki kiri disebabkan tersepit di tempat duduk hadapan. Sementara itu, pemandu kereta Perodua Alza hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kepala dan tangan.

Post a comment

0 Comments