Bilangan Pelajar dijangkiti influenza A di Selangor meningkat


SHAH ALAM - Jumlah pelajar dijangkiti influenza A negeri ini meningkat kepada 245 orang berbanding 231 pelajar semalam.
Pengarah Pendidikan Selangor, Dr Mahanom Mat Sam berkata, sehingga jam 9 pagi itu Klang mencatatkan daerah tertinggi dijangkiti virus berkenaan iaitu 97 kes membabitkan 35 sekolah.
Menurutnya, Petaling Perdana pula dicatatkan daerah kedua tertinggi dengan 53 kes membabitkan 27 sekolah manakala Sepang pula mencatatkan 30 kes dari tujuh sekolah.
"Petaling Utama 23 kes dari 10 sekolah, Kuala Langat mencatat 13 kes dari enam sekolah dan Gombak mencatat 11 kes dari lapan sekolah.
"Daerah lain ialah Kuala Selangor dengan tujuh kes dicatat dari enam sekolah, Hulu Langat mempunyai enam kes membabitkan tiga sekolah dan Hulu Selangor melibatkan lima kes dari dua sekolah," katanya.
Mahanom berkata, semua kes yang dilaporkan telah menerima rawatan di klinik dan hospital berhampiran serta dilaporkan dalam keadaan stabil.
"Mereka diberi cuti rehat dan dinasihatkan untuk dikuarantin di rumah dalam tempoh tiga hingga tujuh hari.
"Pesakit yang menerima rawatan di wad dan dipantau di hospital juga ada yang telah dibenarkan pulang," katanya.
Beliau memberitahu, sehingga kini tiada kelas atau sekolah ditutup berikutan wabak berkenaan.
"Pihak sekolah dinasihatkan untuk sentiasa cakna dan mengingatkan murid supaya sentiasa mengawasi kesihatan masing-masing," katanya.
Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) telah menjalankan langkah pencegahan dan mitigasi di sekolah seluruh negeri ini yang dikategori influenza like illness (ILS).
"Sehingga kini, 15 sekolah telah terlibat mitigasi dan penyahkuman secara total dan proses ini diteruskan kepada 10 sekolah lagi," katanya.
Beliau memberitahu, bagi tujuan pencegahan dan mitigasi pula, sekolah di negeri ini disaran mengaktifkan Bilik Rawatan (Sick Bay) seawal sebelum persekolahan bermula bagi tujuan 'isolation'.
"Pihak sekolah dengan kerjasama PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) wajib menyediakan termometer bagi tujuan saringan awal," katanya.
"Selain itu, mewujudkan 'Taskforce' penyakit berjangkit yang terdiri dari PIBG, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD)," katanya.

Post a Comment

0 Comments