Bayi Lahir Bermula 1 Januari 2020 Dapat Suntikan Percuma Pneumokokal

Dalam Belanjawan 2020, kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) di mana vaksin pneumokokal diberikan secara percuma. Usaha ini dilancarkan untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat terutamanya kanak-kanak selain mengelakkan jangkitan penyakit yang boleh membawa maut.
Terbaru, Berita Harian melaporkan suntikan vaksin akan dilaksanakan Kementerian Kesihatan seawal Jun nanti.

Suntikan kepada bayi lahir 1 Januari 2020

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, bayi yang lahir bermula 1 Januari 2020 layak menerima suntikan percuma ini.

Kita masih dalam proses perolehan ubat (vaksin) berkenaan supaya selepas itu ia boleh diedarkan kepada semua klinik dan hospital.

Kita menjangkakan pelaksanaan program suntikan itu akan bermula sekurang-kurang pada Jun ini.

Tambahnya lagi, suntikan percuma tidak diberikan kepada bayi yang lahir sebelum 1 Januari 2020 kerana tiada peruntukan bagi golongan itu dalam Belanjawan 2020.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya sangat komited untuk melaksanakan usaha ini seawal mungkin kerana sudah lama tertangguh dek kerana ketiadaan dana.

Kami perlu merangka dan menyusun strategi untuk melakukan perancangan pengiraan yang bersesuaian dan munasabah dengan jumlah peruntukan yang diberi melalui Belanjawan 2020.

Sebelum ini, kami meminta RM120 juta tetapi apabila diluluskan separuh, pastinya ia memerlukan strategi kerana dengan jumlah kelahiran 460,000 hingga 500,000 bayi setahun, ia menjadikan kita tidak mampu untuk melaksanakannya secara menyeluruh.

Kos sekitar RM250-RM300

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Immunise4life, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail menerusi laporan Berita Harian November lalu memberitahu suntikan vaksin pneumokokal hanya diambil oleh mereka yang memerlukan dengan kos sekitar RM250-RM300.

Walaubagaimanapun, kos dapat dikurangkan kepada RM100 sekiranya bekalan diambil pada kuantiti yang besar. Katanya lagi, peruntukan RM60 juta tidak mampu menampung kos pembelian vaksin namun kerajaan masih boleh berjimat sekiranya berjaya mendapatkan bekalan pada harga minimum.

Difahamkan, suntikan vaksin ini mampu menurunkan kadar kematian sehingga 792 kes dalam tempoh lima tahun. Malah, pemberian vaksin berjaya menurunkan penyakit pneumokokus invasif sebanyak 1,920 kes, pneumonia; 58,677 kes dan otitis media akut; 322,228 kes.

Sumber : Berita Harian 


Post a Comment

0 Comments