3 Dari 8 pelancong China dalam kuarantin di Johor, positif coronavirus 2019-nCOV


Menurut laporan Berita HarianTiga warga China termasuk dua kanak-kanak dalam kuarantin di Johor Bahru, disahkan positif coronavirus baharu dikenali sebagai 2019-nCOV.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ketika sidang media



Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata ketiga-tiganya adalah ahli keluarga warga China berusia 66 tahun yang berasal dari Wuhan, yang diuji positif virus itu di Singapura.
Beliau berkata, mereka tiba di Singapura dari China dan masuk ke negara ini melalui Johor sebelum ditahan untuk pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Johor.
"Sepuluh daripada mereka tiba di Singapura sebelum sebahagian daripada mereka masuk ke Malaysia. Apabila lelaki berusia 66 tahun disahkan positif coronavirus, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Johor untuk tindakan lanjut.


"Sekumpulan ini dikesan dan diasingkan untuk tindakan lanjutkan sehinggalah ujian yang dilakukan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh mengesahkan jangkitan itu lewat malam tadi," katanya dalam sidang media di pejabatnya hari ini.

PENGESANAN KES YANG DISAHKAN DIJANGKITI 2019 NOVEL CORONAVIRUS (2019-nCoV) DI MALAYSIA

KKM ingin maklumkan mengenai tiga (3) kes yang disahkan dijangkiti 2019 novel coronavirus (2019-nCoV) dalam kalangan kontak rapat kepada dua (2) kes yang merupakan bapa dan anak, yang terdahulu disahkan dijangkiti penyakit yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS).  

Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kesemua mereka diperolehi dari pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh lewat malam semalam.


Tiga kes positif tersebut merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes positif di Singapura, iaitu lelaki berumur 66 tahun dari Wuhan, China.

Mereka dilaporkan telah menaiki pesawat dari Guangzhou ke Singapura pada 20 Januari 2020. Kes tersebut bersama anak lelakinya didapati bergejala dan dimasukkan ke hospital di Singapura pada 22 Januari 2020. Kedua-dua mereka telah disahkan positif oleh KKS.

Seramai sembilan orang telah menaiki pesawat bersama kes pertama yang berumur 66 tahun itu; iaitu isteri, anak lelaki, menantu perempuan, dua (2) orang cucu dan satu lagi keluarga berempat (terdiri dari sepasang suami isteri dan 2 anak mereka), yang merupakan kawan baik keluarga kes.

KKM telah menerima pemakluman mengenai keputusan ujian positif yang diperolehi untuk kes pertama dari KKS, yang turut memperincikan maklumat mengenai kontak rapat beliau yang berada di Malaysia.

Melalui perkongsian maklumat tersebut pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor telah bertindak segera dengan mengesan kesemua lapan (8) orang kontak terbabit dan melakukan saringan kesihatan bagi memeriksa status kesihatan mereka.

Saringan awal mendapati mereka tidak demam dan tidak mempunyai sebarang gejala jangkitan. Sampel klinikal seterusnya telah diambil dalam kalangan kontak tersebut untuk menjalani ujian pengesanan dan selanjutnya pengesahan 2019-nCoV di MKAK Sungai Buloh.

Kesemua kontak tersebut seterusnya telah diletakkan di bawah Perintah Pemantauan dan Pengasingan oleh JKN Johor sementara menunggu keputusan ujian yang dijalankan ke atas mereka.

Untuk makluman, tiga kes yang dikesan positif melalui ujian yang dijalankan oleh MKAK adalah isteri dan dua (2) orang cucu kepada kes pertama di Singapura.

Mereka kini dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh bagi menerima rawatan selanjutnya dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil. Manakala lain-lain kontak yang dikesan adalah negatif bagi 2019-nCoV



TINDAKAN KKM SETERUSNYA

Mengambil kira perkembangan terkini, pasukan Rapid Response Team (RRT) dan Rapid Assessment Team (RAT) di lapangan telah diaktifkan serta merta bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak di lapangan.

Semua anggota kesihatan adalah diingatkan untuk memberikan perhatian serius terhadap pemakaian peralatan perlindungan diri (PPE) yang betul serta mengamalkan langkah-langkah pencegahan dan kawalan infeksi yang optimum pada setiap masa.

Saringan pesakit di semua fasiliti kesihatan perlu dilaksanakan dengan teliti, bagi memastikan kes yang memenuhi akan dirujuk bagi menjalani penyiasatan selanjutnya. 

Kejadian wabak jangkitan ini dipandang serius oleh KKM, justeru suatu tatacara mengenainya yang melibatkan fasiliti kesihatan awam dan swasta telah dikeluarkan baru-baru ini.

Tatacara ini akan digunakan sebagai rujukan kepada semua anggota kesihatan di lapangan bagi mengesan, mengendali dan menguruskan individu yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV.

Selain dari tiga (3) kes positif yang dikesan ini, secara keseluruhannya pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan untuk sembilan (9) kes yang disyaki dijangkiti 2019-nCoV dan kesemuanya disahkan negatif bagi 2019-nCoV melalui ujian makmal yang dijalankan.      
  

DATUK SERI DR DZULKEFLY AHMAD
Menteri Kesihatan Malaysia

Post a comment

0 Comments