Masjid di Pulau Pinang beroperasi 9.30 AM hingga 9.30 PM. Tiada Solat Subuh


SEJAK kelmarin, tular satu memo yang menyatakan waktu operasi para jemaah di Masjid York Road di Pulau Pinang telah dihadkan daripada pukul 9.30 pagi sehingga 9.30 malam sahaja berkuat kuasa pada 31 Disember ini.
Berdasarkan perakuan yang ditandatangani, memo itu dipercayai dikeluarkan oleh pihak pengurusan masjid tersebut sendiri.

Dalam pada itu, seorang individu yang mendakwa sebagai ahli kariah masjid terbabit memohon bantuan warga maya menyebarkan tindakan yang dianggap didalangi oleh ‘kumpulan Yahudi’ itu.
Berikut adalah kenyataan beliau:
Berita Yang Sangat Pedih
Tuan-tuan yang mulia, tolong bantu kami di Masjid York Road. Mulai pada 31 Disember 2019 masjid akan dikunci pada pukul 9.30 malam dan akan dibuka pada 9.30 pagi. 
Bermakna subuh tidak dibenarkan untuk solat, jadi kami mahu solat juga walaupun di luar pagar. Datanglah dan viralkan berita ini melalui media sosial supaya Allah tahu bahawa di Penang (Pulau Pinang) ini ada Yahudi yang masih aktif.

Kita marah kepada Yahudi di Palestin sementara lupa kepada Yahudi yang ada di depan mata. Pengerusi dan AJK (Ahli Jawatankuasa) semua orang luar yang jarang sembahyang di Masjid York Road. Jika mereka hendak bermesyuarat, mereka sembahyang di masjid lain yang ada ‘aircond’ lepas tu baru datang ke Masjid York Road untuk bermesyuarat.  ‘Aircond’ masjid hanya untuk depa (mereka) bermesyuarat saja. Jadi kita jemput tuan tuan pagi 31 Disember 2019 untuk kita solat bersama di luar masjid. Dan viralkan di media sosial. Terima kasih.
Kenyataan itu menerima reaksi segera Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Abdul Malik Kassim.
Dalam kenyataannya, beliau berkata, semua masjid perlu dibuka untuk solat fardhu lima waktu sekurang-kurangnya kerana itu adalah asas fungsi masjid seperti yang termaktub dalam Kaedah-Kaedah Jawatankuasa Kariah (Negeri Pulau Pinang) 1997 – Kaedah 35 iaitu:
Masjid hendaklah digunakan sebagai:
a) Tempat orang Islam beribadat terutama untuk solat fardhu lima waktu, solat Jumaat dan solat-solat lain
b) Pusat kegiatan Agama Islam dan Pembangunan Ummah dan
c) Pusat sumber maklumat penduduk dan maklumat tentang MAINPP dan maklumat lain.

Sehubungan itu, Abdul Malik menasihati dan memperingatkan semua pengerusi dan AJK kariah bahawa bidang tugas dan kuasa pentadbir masjid, tanah wakaf dan tanah perkuburan yang dijalankan adalah bagi pihak atau wakil MAINPP seperti termaktub dalam Kaedah 3 & 8. 
“Setiausaha MAINPP melalui Pegawai Agama Daerah Timur Laut akan menjalankan siasat dan mengeluarkan arahan selanjutnya. 

Memo yang tular

“Saya menganggap notis (memo) operasi masjid yang dikeluarkan oleh pengerusi yang bertarikh 24 Disember itu tidak terpakai berdasarkan Kaedah 35 Fungsi Masjid,” katanya lagi.
Beliau turut menyifatkan kenyataan ‘Berita Yang Sangat Pedih’ sebagai tidak bertanggungjawab dan cuba memburukkan keadaan.

“Sepatutnya orang berkenaan melaporkan tentang notis itu kepada yang bertanggungjawab untuk diselesaikan dengan berhemah dan tertib bukan dengan memburukkan lagi keadaan.
“Saya menganggap orang yang menulis artikel ini berniat jahat dan ingin mencetuskan keadaan tidak baik dalam kalangan ummah dan memburukkan imej Islam dan pentadbiran Islam di Pulau Pinang,” katanya.
Jelas beliau, pihak masjid juga akan diberikan ruang untuk membuat penjelasan berhubung perkara yang berlaku.

Post a Comment

0 Comments