Hikmah Jatuh Tersungkur di Mekah, Usahawan OKU Kini Mampu Berjalan Semula


Setiap apa yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya. Tepatlah dengan ungkapan itu, kita hanya merancang Allah juga yang menentukan. Tiada siapa yang dapat menidakkan kekuasaan Allah S.W.T.  Siapa sangka hidupnya sebelum ini bergantung sepenuhnya pada kerusi roda untuk bergerak, berubah sekelip mata mampu berjalan selepas kejadian tersungkur di Mekah.

Hampir sembilan tahun gadis ini hidup bergantung pada kerusi roda, namun semua itu berubah selepas 12 hari dia berada di Mekah menunaikan Umrah.



Terjatuh di depan pintu Masjidil Haram

Haziqah Nurul Huda Harun, 23, merupakan usahawan OKU yang menjual kuih bulan pernah viral beberapa kali sebelum ini kerana kejayaannya dalam dunia perniagaan. Menerusi laporan Harian Metro, usahawan ini yang lebih selesa disapa Yaya menceritakan kejadian tersebut.
Katanya, insiden ketika mengerjakan umrah bersama ibu bapanya, Rohana Latif, 55, dan Harun Che Muda, 64, pada 10 hingga 21 Disember lalu sangat meninggalkan kesan, malah mengubah hidupnya 100 peratus.
“Saya jatuh terlentang ketika di hadapan pintu masuk Masjidil Haram dan kerusi roda saya juga dicuri ketika mengerjakan tawaf. Tetapi Allah maha mengetahui, insiden itu bukanlah musibah sebaliknya anugerah Allah kerana sejak kejadian itu, kaki kiri Yaya (panggilan manjanya) yang selama ini lumpuh, sudah makin berfungsi,”


Doktor terkejut perubahan drastik

Haziqah Nurul Huda menganggap hikmah kehilangan kerusi roda dan jatuh di hadapan pintu Masjidil Haram sebagai terlalu besar untuk insan kerdil sepertinya.
“Memang sangat sakit akibat terjatuh hingga Yaya demam tetapi, hikmahnya Allah kembalikan kaki kiri Yaya dan ia semakin berfungsi dengan baik. 
“Doktor juga terkejut dengan perkembangan drastik ini dan harapan Yaya untuk berjalan seperti biasa sangat cerah selepas ini,” katanya.
Berikutan saiz kaki kirinya kecil berbanding kanan, katanya, dia perlu menjalani beberapa siri fisioterapi dan yakin perubahan positif sedikit demi sedikit.

Doa diperkenan oleh Allah S.W.T

"Berkat kesabaran dan doa yang tidak putus-putus, selain sentiasa bersangka baik terhadap ketentuan Allah, akhirnya impian Yaya untuk kembali pulih bakal menjadi kenyataan pada 2020," katanya.

Raih pelbagai anugerah

Haziqah Nurul Huda mula dikenali selepas mengusahakan perniagaan kuih bakul atau 'Nian Gao' yang menjadi makanan wajib bagi kaum Cina setiap kali menjelang perayaan Tahun Baru Cina.
Kegigihan gadis OKU itu melayakkannya menerima Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (Perempuan) pada majlis sambutan Maal Hijrah 1440 Hijrah/2018 peringkat Terengganu.

Sumber: Harian Metro

Post a Comment

0 Comments