Akel Zainal bekas ‘drummer’ Ukays maut di Syria, anak dan isteri turut terbunuh dalam serangan anti pengganas


BEKAS pemain dram kumpulan rock terkenal 1990-an Ukays, Akel Zainal yang menyertai kumpulan militan sejak 2014 disahkan terbunuh pada awal tahun ini.

Menerusi laporan portal BenarNews, Akel atau Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin bersama seorang lagi perekrut utama Malaysia bagi kumpulan pengganas Negara Islam (IS) iaitu Mohd Rafi Udin, 53, maut dalam serangan udara Rusia di Syria.

Mohd Rafi yang juga dikenali sebagai Abu Ain dan Abu Awn al-Malisi dan Akel masing-masing terbunuh pada Januari dan Mac lalu, demikian menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Ayob berkongsi perkara itu dengan memetik maklumat antarabangsa daripada rakan sejawatannya serta sumber rakyat Malaysia di Syria.

Seorang anggota Pasukan Demokratik Syria (SDF) berjalan melepasi kenderaan yang rosak di tepi jalan di kampung Baghouz di wilayah timur Deir Ezzor di Syria berhampiran sempadan Iraq pada 24 Mac, 2019, sehari selepas pemimpin IS diisytiharkan dikalahkan oleh SDF. -Foto AFP

Menurut Ayob, Akel terbunuh bersama isteri dan anak-anaknya selain seorang lagi pejuang IS warga Belgium.

"Maklumat yang diterima berkata bahawa rumah Akel di Baghouz terkena letupan bom semasa serangan udara pada Mac lalu.

"Isteri dan dua anaknya yang berumur dua dan tiga tahun juga terbunuh," kata Ayob.
Akel dilaporkan mula menyertai IS sejak tercetusnya konflik di Syria dan malah turut ke sana untuk menyertai perang.

Pada Oktober 2014, Akel didakwa giat merekrut wanita khususnya pelajar institusi pengajian tinggi tempatan untuk ke Syria.

Salah seorang daripada mereka ialah bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis), Syamimi Faiqah yang dipercayai lari ke negara itu untuk berkahwin dengan Akel selepas berkenalan melalui Facebook.

Post a Comment

0 Comments