[VIDEO] Tragedi basikal lajak, 8 Remaja Maut: Pemandu bebas tuduhan



MAHKAMAH Majistret Johor Bahru, hari ini, melepas dan membebaskan jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada 18 Februari 2017.
Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu terhadap Sam Ke Ting, 24, tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan bermula Ogos 2017, 46 saksi pendakwaan dan 214 ekshibit dikemukakan di mahkamah.
Siti Hajar pada penghakimannya berkata, mahkamah mengambil kira pemandu yang menggunakan jalan serta situasi jalan yang berselekoh dan malam tidak boleh menjangkakan kewujudan basikal lajak.
Bahkan katanya, faktor yang mencipta kecederaan bahaya bukan disebabkan cara pemanduan.
“Bersandarkan beberapa perkara termasuk situasi jalan berbukit yang gelap dan berselekoh di mana pemandu tidak boleh menjangkakan terdapat kumpulan berbasikal yang ramai di jalan itu pada 3 pagi.

“Selain keadaan bahaya itu dicipta oleh kumpulan basikal lajak itu sendiri," katanya.
Menurutnya, tertuduh tidak memotong kenderaan lain, tidak melawan arus dan tidak berlumba.
“Isu tertuduh menggunakan lorong kiri atau kanan tidak menjadi masalah dan dia berhak melalui lorong terbabit, selain tidak mencipta situasi bahaya," katanya.
Menurutnya, basikal lajak adalah satu gejala sosial membabitkan kanak-kanak bawah umur.
Katanya, dua hari sebelum kejadian itu juga, operasi lajak sudah dilakukan bagi mengekang aktiviti menunggang basikal ala ‘Superman' di atas jalan raya.
“Berdasarkan keterangan pasukan penyiasat, terdapat pokok besar di laluan berkenaan dan pencahayaan malap walaupun terdapat lampu di tembok pembahagi jalan.
“Aktiviti itu (basikal lajak) sudah umum diketahui di situ (lokasi kejadian), terdapat aduan mengenai perlumbaan basikal lajak di kawasan berkenaan.

“Adalah munasabah mereka yang lalu di situ akan menjangka situasi terjadi, namun, hanya terpakai kepada penduduk di situ dan mereka yang selalu menggunakan jalan itu,” katanya.
Menurutnya, tidak adil kepada pengguna yang jarang menggunakan laluan itu.
Siti Hajar berkata, siasatan turut mendapati tertuduh tidak berada di bawah pengaruh alkohol, tidak menggunakan telefon bimbit serta memakai tali pinggang keledar ketika memandu sekali gus membuktikan tertuduh memandu dalam keadaan bertanggungjawab dan berjaga-jaga.
Beliau kemudian memerintahkan lesen memandu tertuduh dikembalikan kepada tertuduh, serta merta.
“Wang jaminan RM10,000 dikembalikan kepada penjamin," katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menjaga anak-anak bagi mengelak kejadian itu berulang, bahkan polis diminta bertindak tegas.
Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan pembelaan diwakili Muhammad Faizal Mokhtar.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut adalah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda selain lesen memandu digantung, sekiranya disabit kesalahan.

Post a Comment

0 Comments