[VIDEO] Pukul Pegawai Keselamatan Dengan Kayu Golf Kerana Ditegur Guna Parking OKU


TINDAKAN lelaki memaki hamun, menumbuk dan memukul pengawal keselamatan warga Nepal dengan kayu golf kerana tidak puas hati keretanya dikunci tayar mengundang padah apabila ditahan polis, malam ini.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, mangsa berusia 30-an membuat rondaan di Kl Traders Square, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, melihat kereta Honda Jazz warna kelabu diletak di tempat kereta orang kurang upaya (OKU).
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, mangsa kemudian bertindak mengunci tayar kereta suspek berusia 24 sebelum setengah jam kemudian datang dua lelaki tidak dikenali meminta pengawal keselamatan membuka kunci tayar itu.
Menurutnya, bagaimanapun dia meminta suspek membayar denda di pejabat pengurusan, namun mereka tidak mempedulikannya dan cuba merosakkan kunci tayar itu sebelum ditegur mangsa.
“Tiba-tiba suspek terus memarahi dan menumbuk muka mangsa sebelum mengambil batang kayu golf dari dalam keretanya serta terus memukul lengan kanan dan mukanya.
“Rakan suspek turut cuba meleraikan kejadian itu malah kejadian itu turut tular di media sosial selepas saksi kejadian merakam perbuatan suspek,” katanya dalam satu kenyataan.
Rajab berkata, akibat kejadian itu mangsa luka di lengan kanan dan telinga akibat dipukul suspek masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 4.30 petang daripada orang awam kemudian menjalankan siasatan.
“Susulan itu, polis kemudian menahan suspek yang berasal dari Terengganu sekitar 10 malam ini,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah lampau membabitkan dadah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan perintah tahanan reman akan dipohon esok,” katanya.

Post a Comment

0 Comments