[VIDEO] Menggigil jumpa kaki manusia berulat


“DIA menggigil dan terus pulang ke rumah sebaik sahaja memaklumkan kepada saya mengenai penemuan kaki manusia dikerat itu.”
Itu pengalaman dikongsikan penyelia syarikat pembersihan yang menghubungi polis berhubung penemuan mayat individu dipercayai mangsa bunuh yang dikerat lapan di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, hari ini.


Penyelia berusia 40- an yang enggan dikenali itu berkata, dia terus menghubungi polis sebaik mendapat berita berkenaan daripada pekerjanya itu yang ditugaskan memotong rumput di kawasan berkenaan.
“Isnin lalu, pekerja sama memberitahu ada terhidu bau busuk ketika membersihkan longkang di semak bersebelahan jalan utama itu, tetapi saya minta supaya tidak mengendahkannya.
“Tetapi hari ini ketika ditugaskan untuk memotong rumput sekitar 4 petang, dia sekali lagi terhidu bau busuk dan terus menggigil ketakutan sebaik sahaja terlihat bahagian kaki manusia yang sudah berulat berhampiran kawasan semak,” katanya.
Menurutnya, pekerjanya itu sempat memberitahu terdapat lagi beberapa bahagian anggota manusia dalam keadaan tanpa pakaian.


MANGSA DIKERAT LAPAN

MAYAT individu dipercayai mangsa bunuh ditemukan dikerat sekurang-kurangnya lapan bahagian di Kampung Ladang, Krubong, Melaka, 4 petang hari ini.
Mayat mangsa dalam keadaan tanpa pakaian itu ditemukan berselerakan di kawasan semak.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam pada 4.30 petang mengenai penemuan mayat itu.
Beliau berkata, sepasukan pegawai forensik yang tiba di tempat kejadian kemudian menemukan beberapa bahagian anggota badan manusia dikerat kepada beberapa bahagian.


“Siasatan awal menemui bahagian tubuh manusia di kawasan semak berhampiran jalan utama dan mangsa disyaki dibunuh di tempat lain.
“Sekurang-kurangnya lapan bahagian badannya dicampakkan ke kawasan semak berkenaan sejak kira-kira lima hari lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.



Afzanizar berkata, polis masih menyiasat jantina mangsa termasuk identiti yang hanya diketahui selepas proses bedah siasat.
“Kami akan putuskan sama ada tubuh badan ini lebih daripada satu (mangsa) atau tidak selepas selesai proses bedah siasat.
“Mayat akan dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun kerana membunuh,” katanya.

Post a Comment

0 Comments