Suami isteri maut nahas, 6 anak yatim piatu


DUNGUN: Enam beradik menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan di Jalan Felda Kerteh 2/3, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, Kamal Hisham Mustaffa, 35, dan isterinya, Norhapisah Idris, 35, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Dua anak mereka yang parah di kepala ialah Muhammad Danish Irfan Kamal Hisham, 11, dan seorang anak angkat pasangan itu, Muhammad Danial Abdullah, 12.
Empat lagi anak pasangan itu berada di rumah ketika kejadian.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Wira Aeroback dipandu Kamal Hisham dari arah Ketengah Jaya ke Felda Kerteh 2, dikatakan memintas sebuah kereta di lokasi kejadian.
Bagaimanapun, Kamal Hisham tidak sempat kembali ke laluan kiri sebelum bertembung dengan kereta Perodua Alza.
Pemandu Alza, Mohd Zulkifli Ab Aziz, 39, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh, Kemaman dan rakannya, Mohd Suhaimi Mat Hassan, 22, yang bertugas sebagai juru tol, dilaporkan patah kaki.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, siasatan awal mendapati pasangan suami isteri yang tinggal di Kampung Sura Hujung itu dalam perjalanan mengambil dua anak mereka yang tinggal di asrama Sekolah Rendah Kebangsaan Pasir Raja.
“Kemalangan menyebabkan pemandu dan semua penumpang kedua-dua kenderaan tersepit.
“Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dikerahkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan semua mangsa,” katanya.
Baharudin berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala mangsa yang parah dihantar oleh ambulans dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Post a Comment

0 Comments