Maqis rampas 50kg Wagyu dari Jepun bernilai RM100 000


SEPANG - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk daging Wagyu sebanyak 50 kilogram (kg) dari Jepun tanpa dokumen yang sah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini Selasa lalu.

Pengarah Maqis Selangor, Dr. Tarmisal Alimin berkata, pihaknya telah menjalankan pemeriksaan terhadap dua warganegara Jepun di balai ketibaan KLIA kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, pemeriksaan itu mendapati, lelaki terbabit membawa sebanyak 50kg daging Wagyu yang diletakkan di dalam tiga beg berasingan.


“Daging itu dipercayai dibawa masuk untuk kegunaannya sendiri. Ia dianggarkan bernilai RM100,000 dan telah dirampas serta akan dilupuskan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.


“Daging Wagyu tersebut dirampas kerana tiada sebarang dokumen yang sah seperti permit import, sijil kesihatan dari negara asal dan sijil loji sembelihan halal,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada MAQIS adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama.

Katanya, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

“Pegawai Maqis sentiasa tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti pemeriksaan serta penguatkuasaan di semua pintu masuk seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

“Langkah itu bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Post a Comment

0 Comments