Mangsa tertimbus sudah ditemui

MAYAT mangsa tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Teras, Ijok di Selama berjaya ditemui pada 10.26 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Selama Deputi Superintendan Mohd Sabri Saad berkata, pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui mangsa di kawasan bahagian dapur rumah yang ditimbuni tanah selepas jalan utama berhampiran runtuh.
Menurutnya, mangsa yang ditemui itu dikenal pasti sebagai Hanudin Bahazim, 60, dan kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
“Polis menerima maklumat kejadian itu pada 6.25 petang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan.
“SAR disertai seramai 104 anggota dari pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan lain-lain agensi.
“Turut digunakan dua buah jengkaut milik Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penduduk bagi membantu mencari mangsa yang tertimbus itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian runtuhan itu.
Menurutnya, semua pihak diminta mengambil langkah segera supaya kejadian sama tidak berulang.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa di atas tragedi yang berlaku.
"Dengan penuh hiba dan dukacita, kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Hanudin.
"Semoga roh Allahyarham dikumpulkan bersama-sama mereka yang beriman dan beramal soleh. Bersama kita doakan agar keluarga mangsa dikurniakan ketabahan menghadapi dugaan yang begitu berat ini," katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan anggota penyelamat serta pihak yang terbabit dalam misi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian.

Post a Comment

0 Comments