Gelongsor air terpanjang dunia diiktiraf Guinness World Records

GEORGETOWN - Taman Tema Escape Pulau Pinang di Teluk Bahang di sini melakar sejarah apabila diiktiraf sebagai gelongsor air terpanjang di dunia sepanjang 1.111 km dalam Guinness World Records.

Ketua pegawai eksekutifnya, Sim Choo Kheng berkata, gelongsor dengan ketinggian 70 meter itu telah siap sepenuhnya, namun sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum dibuka kepada orang ramai bulan oktober.

Menurutnya, fasa ketiga 'Gravity Play' itu mengatasi rekod dunia 0.602 km milik taman tema Action Park di Vernon, New Jersey, Amerika Syarikat pada 2015.


"Berdasarkan rekod, kita mempunyai seramai 185,000 pengunjung pada tahun lalu dan dengan pembukaan 'Gravity Play', kita menjangkakan jumlah pengunjung akan naik sebanyak 15 peratus.

"Kos keseluruhan taman tema ini sebanyak RM12 juta dengan gelongsor air melibatkan kos RM5 juta termasuk pembinaan satu laluan 'ski lift' untuk membawa pengunjung ke puncak bukit.

"Ia mengambil masa lapan bulan untuk menyiapkan fasa ketiga ini. Tiada had umur dan memerlukan dua orang untuk menuruni gelongsor ini," katanya pada sidang media di sini semalam.
 40 tarikan utama

Terdahulu, Choo Kheng menerima sijil pengiktirafan daripada wakil Guinness World Records, Pete Fairbairn pada satu majlis khas di sini.

"Gelongsor yang dibina di kawasan bukit itu menghubungkan taman permainan ‘Adventure Play’ dan ‘Water Play’. Cabaran terbesar dalam proses pembinaan adalah untuk mengelak memotong pokok di sekeliling kawasan bukit bagi mengekalkan kehijauan alam sekitar.

"'Ski lift' menghubungkan antara kaki bukit hingga ke permulaan gelongsor air dan ia amat unik kerana akan melalui kawasan hutan. Saya berharap Escape akan menjadi pusat tarikan pelancong sebagai usaha memajukan industri pelancongan dan memberi banyak manfaat kepada semua golongan masyarakat di Teluk Bahang," katanya.

Taman Tema Escape Pulau Pinang mempunyai lebih 40 tarikan utama termasuk meneroka terowong, memanjat pokok, 'flying fox' dan 'kite flyers' di 'Adventureplay dan Water Slide, 'lazy river', 'speed racer' serta 'waveball' di ‘Water Play’.
Choo Keng berkata, pihaknya sedang membina Taman Tema Escape Pulau Pinang yang kedua di Linyi iaitu di wilayah Shandong, China.

Menurutnya, pembinaan teman tema baharu gaya 'kampung' itu mempunyai permainan pengembaraan dan graviti telah bermula pada suku pertama tahun ini.
 Gelongsor air sepanjang 1111meter

Post a Comment

0 Comments