Bayi hidap jantung berlubang perlu bantuan RM90,000


KUANTAN: Seorang bayi berusia setahun tujuh bulan, memerlukan sumbangan untuk membiayai kos pembedahan dan rawatan penyakit jantung berlubang dihidapinya berjumlah antara RM65,000 hingga RM90,000.
Maya Alisha Mohd Hashrol yang tinggal bersama keluarga di Indera Mahkota 8, dekat sini, disahkan menghidap penyakit itu selepas dilahirkan pramatang ketika berusia enam bulan dalam kandungan.
Ibunya, Rozita Radzali, 33, berkata anak keenam daripada tujuh beradik itu perlu menjalani dua pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) dengan membabitkan kos besar.
Namun, katanya, beliau dan suami, Mohd Hashrol Hasan, 37, hanya berniaga minuman dan makanan ringan secara kecil-kecilan di Taman Kerang bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga.
“Maya Alisha dilahirkan tidak cukup bulan dan dimasukkan ke wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, kira-kira sebulan bagi mendapatkan rawatan susulan.
“Ketika dilahirkan, beratnya cuma 1.5 kilogram dan doktor yang merawat Maya Alisha memaklumkan dia menghidap jantung berlubang. Bagaimanapun, keadaan fizikalnya yang terlalu kecil ketika itu tidak sesuai untuk menjalani pembedahan.
“Selepas beberapa kali menemui doktor, saya dan suami diberitahu sekarang adalah masa sesuai untuk anak menjalani pembedahan di IJN. Jika mengikut jadual, pembedahan pertama akan dilakukan pada pertengahan bulan ini tetapi kami tidak memiliki jumlah wang diperlukan,” katanya.
Rozita berkata, mereka dimaklumkan bahawa kos pembedahan pertama dianggarkan RM25,000, manakala pembedahan kedua dan rawatan pula membabitkan kos antara RM40,000 hingga RM65,000.
“Sudah tentu jumlah itu amat besar dan sukar untuk kami usahakan. Oleh itu, kami merayu dan berharap ada pihak sudi memberi sumbangan supaya Maya Alisha dapat dirawat serta menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal lain,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung, yang mengunjungi keluarga terbabit di rumah mereka, hari ini, berkata pihaknya akan memaklumkan perkara berkenaan kepada Pejabat Ahli Parlimen Indera Mahkota bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Hari ini, kita menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan harian kepada keluarga Rozita, selain sedikit sumbangan kewangan daripada Pejabat ADUN Semambu.
“Seterusnya, saya akan memaklumkan perkara ini kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, dan kita tengok apa lagi bantuan yang boleh disalurkan kepada keluarga Maya Alisha,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Rozita melalui talian 011-11033943.

Post a Comment

0 Comments