Banjir bakal melanda pantai timur


JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan banjir buruk bakal berlaku khususnya di Kelantan berikutan angin Monsun Timur Laut, kata Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon.
Beliau berkata, bagaimanapun banjir berkenaan tidak teruk berbanding banjir besar pada 2014.
Katanya, tahun lalu tiada banjir di Kelantan tetapi kemungkinan bencana itu akan melanda pantai timur tahun ini.
“Tahun ini dijangka berlaku banjir kerana taburan hujan 20 hingga 40 peratus lebih daripada biasa berbanding tahun lalu tiada banjir langsung.
“Monsun Timur Laut biasanya berakhir Mac tapi di Semenanjung akan melanda sehingga awal Januari sebelum beralih ke Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau sebelum itu menghadiri Taklimat Pengoperasian Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Bagi Monsun Timur Laut di Pusat Kawalan Bencana Negara, Cyberjaya hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Zakaria Shaaban dan Pengarah Pusat Kawalan Bencana Negara Zuraini Mohd Yusof.
Sementara itu, Zakaria berkata, 14 agensi tindak balas seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) bersiap-siaga menjelang musim banjir kali ini.
“PKOB akan beroperasi 24 jam sehingga monsun kali ini berakhir juga dengan agensi teknikal seperti MetMalaysia dan Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya.

Post a Comment

0 Comments