‘Ada 41 Kesan Kecederaan Baru & Lama’ – Kanak-Kanak 4 Tahun Meninggal Dunia Akibat Didera Pengasuh


Isu penderaan kanak-kanak melibatkan pengasuh bukanlah satu perkara baru. Saban hari ada sahaja kes yang melibatkan anak asuhan yang didera sehingga meninggal dunia.
Terbaru, seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai didera oleh pengasuh yang juga merupakan sepasang suami isteri. Kejadian dikatakan berlaku di sebuah rumah di Jalan Yadi, Klang.

Terdapat 41 kesan kecederaan


sekadar gambar hiasan
Menerusi Harian Metro, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pasukan mereka menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki sebelum tiba di lokasi kejadian.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat.
Hasil bedah siasat semalam mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan dalaman disebabkan hentakan objek tumpul selain terdapat 41 kesan kecederaan baru dan lama.

Tiga lagi kanak-kanak turut didera


Susulan itu, ketika siasatan pegawai penyiasat turut melakukan pemeriksaan fizikal terhadap dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang juga merupakan kembar si mati.
Hasil pemeriksaan mendapati terdapat bekas kecederaan baru dan lama pada tubuh badan mereka dipercayai akibat didera oleh kedua-dua suspek.
Siasatan mendapati dua kanak-kanak lelaki adalah anak kandung suspek wanita berusia 30 tahun hasil perkahwinan bersama dua bekas suami sebelum ini.
Semua mangsa kini berada di HTAR untuk pemeriksaan lanjut.
Tambahnya lagi,  pasangan ini baru sahaja berkahwin empat bulan yang lalu di Sarawak. Perintah reman terhadap kedua-dua suspek akan dipohon di Mahkhamah Klang dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Post a Comment

0 Comments