Yazit Search Meninggal Dunia


KUALA LUMPUR: Bekas pemain dram kumpulan rock legenda, Search, Yazit Ahmad, 57, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, kira-kira jam 11. 53 pagi tadi.
Perkara ini disahkan rakan baiknya, Ashaari Mohd Nasir menerusi kenyataan kepada media.
Allahyarham dimasukkan ke wad kecemasan HKL, awal pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas dan sebaik tiba di hospital, jantungnya terhenti dan diberi bantuan pernafasan (CPR).
Doktor mengesahkan, Allahyarham mengalami kecederaan otak berpunca daripada kekurangan oksigen dalam badan dan bergantung kepada sokongan mesin hayat.
Keadaan pemuzik yang sudah lebih tiga dekad dalam industri seni itu dikatakan bertambah kritikal sejak petang semalam.
Yazit berdepan penyakit buah pinggang lebih 10 tahun lalu, sebelum diserang beberapa masalah lain hingga kerap keluar masuk hospital, selain menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu.
Awal bulan ini, Yazit dimasukkan ke hospital selama dua hari disebabkan sesak nafas, tetapi dibenarkan pulang ke rumah sebaik rawatan.
Jenazah akan dibawa ke Masjid Salehuddin Al Ayubi di Taman Melati untuk disolat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudatul Sakinah, Taman Selasih.
Allahyarham meninggalkan isteri, Ramlah Ahmad, 59, dan tiga anak iaitu Razilah, 38, Shahmirnuri, 34, dan Shafiqa Nurli, 29.

DARI INSTAGRAM AMY SEARCH



Post a Comment

0 Comments