Saya bersyukur - tunang Adib


"ALHAMDULILLAH... saya bersyukur sangat dengan keputusan ini." Demikian jawapan ringkas tunang kepada Allahyarham Muhammad Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi.
Nurul Najihah, 26, hadir mendengar keputusan inkues di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini.
Ketika ditemui media ditemui di tempat letak kereta kompleks mahkamah, wanita itu menangis teresak-esak sehingga tidak mampu menjawab soalan wartawan.
Dia hanya menjawab ringkas dan kemudian menelefon seseorang, sebelum berlalu ke kenderaannya bersama seorang wanita.
Wanita itu pertama kali hadir ke prosiding inkues kematian tunangnya dan tiba pada 8.45 pagi.
Kira-kira 9 pagi, Koroner Rofiah Mohamad membacakan keputusan inkues kematian Muhammad Adib yang disebabkan perbuatan jenayah dua atau lebih orang tidak dikenali.
Prosiding inkues yang dikendalikan Pengendali Faten Hadni Khairuddin itu berlangsung 41 hari bermula 11 Februari lalu dengan seramai 30 saksi memberi keterangan selain 137 eksibit dikemukakan.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Post a Comment

0 Comments