DIA tidak menyangka suami yang
disayangi sanggup menjadikan kerjayanya sebagai penjawat awam untuk mendapat
untung mudah dengan membuat pinjaman sehingga jumlah maksimum sebelum digantung
tidak bertali sejak empat tahun lalu.
Lebih malang, janji manis untuk
membina kehidupan lebih baik menggunakan pinjaman berkenaan sebagai modal
perniagaan lenyap begitu saja selepas ia dibelanjakan sesuka hati dan suami
kemudian menghilangkan diri.
Sudahnya,
dia terpaksa melangsaikan pembiayaan berjumlah lebih setengah juta termasuk
membayar gaji pekerja dan kos operasi syarikat yang gulung tikar.
Bagi Maisarah, 40, tiada lagi
keseronokan hidup sebagai doktor di sebuah pusat perubatan awam apabila dia
pokai selepas terpaksa melunaskan semua hutang ditinggalkan suaminya.
“Saya ingat dia kahwin dengan saya
kerana cinta, tetapi sebaliknya. Kami hanya kenal tak sampai dua bulan sebelum
dia menyatakan niat melamar saya.
“Dalam
beberapa minggu pertama perkenalan dulu, memang dia banyak bertanya soal
peribadi saya termasuk wang simpanan, gaji serta perbelanjaan harian tapi saya
tidak mengesyaki apa-apa dan bersetuju menjadi isterinya atas dasar suka sama
suka.
“Sebaik
sah menjadi suami isteri, dia mula memujuk saya membuat pinjaman peribadi
berjumlah RM200,000 kononnya untuk berniaga. Memang sebelum itu dia ada
syarikat pembinaan dan saya tidak ambil pusing mengenai perniagaannya,”
katanya.
Berselang
dua bulan katanya, dia mula curiga apabila dihubungi bank yang memaklumkan ada
tunggakan bayaran pinjaman selain beberapa pekerja suaminya meminta gaji mereka
dan mendakwa sudah beberapa bulan tidak dibayar gaji.
Selepas
itu, suaminya meminta dia membuat beberapa lagi pinjaman termasuk kad kredit
berjumlah antara RM15,000 hingga RM50,000 kononnya sebagai jalan keluar
daripada perniagaan yang menghadapi masalah kewangan.
“Sampai
satu masa saya sudah tidak tahan lagi kerana bebanan hutang semakin bertambah
dan mengganggu tugas saya sebagai doktor. Saya minta suami beri penjelasan dan
dia berterus terang bahawa dia menggunakan saya untuk mendapat pinjaman dengan
mudah kerana kedudukan saya sebagai penjawat awam,” katanya yang membuat aduan
kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Seorang
guru mahu dikenali sebagai Baizura, 30-an berkata, dia berkahwin dengan
suaminya yang dikenali menerusi seorang rakan pada 2013.
Tanpa
mengetahui latar belakang lelaki itu, mereka mengenali hati budi selama tiga
bulan dan bersetuju untuk berkahwin biarpun mendapat tentangan keluarga.
Baizura
berkata, dalam tempoh lima tahun perkahwinan, dia membuat tiga pinjaman dengan
nilai keseluruhan berjumlah RM450,000 dan terpaksa menanggung suaminya yang
tidak bekerja.
Menurutnya, lebih memeranjatkan apabila suaminya berubah sikap
dan memaklumkan bahawa dia akan hidup senang sampai tua kerana turut mempunyai
pencen isteri selepas bersara nanti.
0 Comments