Hina Seri Paduka dalam Twitter: Polis siasat ikut Akta Hasutan


KUALA LUMPUR: Polis membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan 1948 susulan laporan berhubung penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong dalam laman sosial Twitter, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihak polis sudah menerima satu laporan berhubung kes terbabit.
“Sehubungan itu, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 yang dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5 Bukit Aman,” dalam satu kenyataan.
Difahamkan, laporan polis itu dibuat oleh seorang jurutera pada jam 12.35 tengah hari semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang.
Warganet sebelum ini meluahkan rasa terkejut dan sedih apabila akaun Twitter rasmi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, iaitu @cheminahsayang, dinyahaktif dipercayai kerana komen negatif serta biadab oleh segelintir pengguna media sosial.
Susulan itu, warganet melancarkan kempen dengan tanda pagar #AmpunTuanku bagi ‘memujuk’ Raja Permaisuri Agong mengaktifkan semula akaun Twitter rasmi baginda.
Selepas isu berkenaan tular sehingga mendapat kecaman warganet, seorang individu menggunakan nama Firdaus Asraf atau @frdsasrf melalui ciapan memohon maaf kepada baginda atas keterlanjuran kata-katanya.
“Ampun Tunku beribu-ribu ampun, seandainya Raja Permaisuri Agong membaca warkah ini, patik memohon segala keampunan Tunku dan patik bersedia menghadap Tunku untuk memohon maaf seandainya Raja Permaisuri Agong berkenan menerima patik.
“Sesungguhnya patik tidaklah mengharap apa-apa melainkan pengampunan Raja Permaisuri Agong. Patik yang merendah diri, Firdaus Asraf,” kata individu itu dalam ciapannya.

Post a Comment

0 Comments