[FOTO] Sedihnya Tengok Habitat Orang Utan Musnah Akibat Kebakaran Kalimantan


Di Malaysia kita dengan IPU 100+ pun boleh rasa sesak nafas, apatah lagi di Kalimantan kan?
Tambah menyayat hati, kebakaran hutan besar-besaran di Indonesia yang menyebabkan jerebu toksik tersebar sehingga ke Singapura dan Semenanjung Malaysia secara serius turut menjejaskan spesies orang utan dan habitat mereka di Kalimantan.
Kebakaran yang biasanya bermula akibat pembakaran haram untuk membersihkan tanah pertanian, menyebabkan jerebu teruk di seluruh Asia Tenggara.

RATUSAN ORANG UTAN TERJEJAS, ALAMI JANGKITAN PERNAFASAN

Borneo Orangutan Survival Foundation (BOSF) berkata semalam, jerebu menjejaskan ratusan orang utan dalam jagaannya di pusat menyelamat dan pusat perlindungan hidupan liar.
“Asap tebal bukan hanya membahayakan kesihatan kakitangan kami, namun ia juga menjejaskan 335 orang utan yang kami jaga.”
Menurut sumber, sebanyak 37 orang utan disyaki mengalami jangkitan pernafasan akibat kebakaran tersebut.
Foto-foto akibat kesan kebakaran dan kerja menyelamat orang utan di media sosial menjadi tular dan dilihat sangat menyentuh emosi.

Foto Kredit: Antara Foto / Reuters
Foto tersebut menunjukkan keadaan orang utan yang terpaksa ‘lari’ daripada habitat mereka untuk menyelamatkan diri.
Terdapat juga gambar di mana bayi orang utan memeluk erat petugas keselamatan yang kelihatan merenung habitat haiwan liar tersebut yang habis rentung.
Dalam satu lagi foto, kelihatan seekor orang utan dalam keadaan lemah didukung oleh petugas keselamatan.
Memang sedihlah bila tengok!
Difahamkan keadaan agak teruk di kemudahan Samboja Lestari di Kalimantan Timur sehingga aktiviti luar untuk haiwan terbabit dihadkan kepada beberapa jam sehari.
Orang utan terutamanya terdedah kepada pembersihan tanah komersial dan menyaksikan habitat mereka semakin mengecil secara dramatik sejak beberapa dekad lalu – iaitu daripada kira-kira 288,500 pada 1973 kepada kira-kira 100,000 hari ini, menurut Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa.

‘ANAKONDA’ PUN RENTUNG

Beberapa lagi foto kesan kebakaran di Kalimantan yang viral adalah seekor ular sawa gergasi sepanjang sekitar 10 meter dan berdiameter 20cm yang ditemui oleh penduduk tempatan yang cuba memadamkan api.
Bangkai ular sawa berukuran sebesar paha orang dewasa itu dikatakan mampu menelan binatang besar seperti kambing atau lembu malah juga mungkin boleh menelan manusia.
Asap toksik disebabkan kebakaran hutan adalah masalah tahunan untuk Indonesia dan jirannya namun semakin buruk tahun ini disebabkan cuaca kering.

Foto Kredit: The Straits Times

KONSERVASI TETAP DITERUSKAN

Memang sedih bila tengok semua haiwan ni terpaksa menderita akibat perbuatan manusia.
Sementara itu, Presiden BOSF, Andre Kornelius menegaskan bahawa mereka akan tetap meneruskan usaha menyelamat dan merawat 500 orang utan di bawah jagaan mereka.
Delain itu, beberapa lagi gambar haiwan turut dikongsikan oleh pengguna media sosial, namun tidak diketahui sumber asalnya.
Apapun, diharap agar foto ini sedikit sebanyak dapat menjentik kesedaran kita agar lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar yang dikongsi bersama haiwan-haiwan lain, terutamanya yang diambang kepupusan.
Bukan manusia saja yang merasa akibatnya tau!

Post a Comment

0 Comments