EKSKLUSIF: Ini jawapan terhadap segala cacian saya terima selama ini – Saksi


KUALA LUMPUR – “Selama ini saya menerima cacian dan hinaan kerana kononnya ‘bias’ ketika memberi keterangan berhubung apa yang menimpa Adib, hari ini akhirnya terbukti yang saya tidak mereka-reka atau menokok tambah mengenai kejadian tersebut,” kata R. Narresh.
Beliau adalah salah seorang saksi utama prosiding inkues mencari punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Pada hari kejadian, Narresh adalah orang yang bertanggungjawab mengangkat serta mengusung Adib yang ketika itu sedang dalam kesakitan ke dalam sebuah kereta pacuan empat roda dan memangkunya hingga sampai ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC).
Ketika prosiding inkues pada Februari lalu, Narresh mengejutkan ramai pihak apabila  mendedahkan yang beliau terlihat kesan tapak kasut pada bahagian rusuk kanan Allahyarham pada malam rusuhan berkenaan.
“Sesungguhnya Mahkamah Koroner telah membuat keputusan yang adil, ternyata keterangan kami yang benar-benar berada di tempat kejadian telah diambil kira.
“Saya menyambut baik keputusan yang dibuat Mahkamah Koroner dan menyifatkan hakim telah mempertimbangkan semua keterangan dengan tanpa bias kepada mana-mana pihak. Saya percaya hakim tidak sewenang-wenangnya membuat keputusan, bukan saya seorang sahaja yang dipanggil dalam inkues itu.
” Dalam erti kata lain, hakim bukan mendengar cerita sebelah pihak semata-mata, beliau bukan dengar keterangan saya sahaja, jadi saya percaya beliau adil dalam keputusannya,” kata Narresh.
Narresh seterusnya berharap masyarakat menerima keputusan berkenaan dengan hati terbuka.
Beliau juga bersyukur akhirnya kerana sekurang-kurangnya keadilan telah memihak kepada Adib walaupun mereka yang bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan belum dapat dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan. – MalaysiaGazette

Post a Comment

0 Comments