Dulu Bertumbuk, Sekarang Berpelukan…


Minggu lalu, kecoh sebuah video yang memaparkan dua individu bergaduh di tol akibat rasa tidak puas hati di antara mereka berdua. Susulan daripada kejadian itu, kedua-dua mereka telah dikenakan hukuman penjara selama sehari serta denda sebanyak RM1,000 sebagai pengajaran.

Terbaru, Mohamad Fazrien Mohd Ziear yang merupakan salah seorang daripada individu itu sempat membuat posting di laman Facebooknya dan menunjukkan keakrabannya bersama Ng Whye Hong selepas sama-sama menjalani hukuman tersebut.



Kerana emosi


Sebagai manusia biasa, kami tidak dapat lari dari cetusan emosi yang berpunca dari pelbagai punca. Perasaan marah, benci dan dengki itu selalu meracuni fitrah kami sebagai rakyat Malaysia yang mendukung keamanan sehinggakan kami ini ‘terlupa’ pada kedaulatan undang-undang dan kehilangan  seketika luhur peribadi kesopanan dan kesusilaan kami.
Apakan daya kami ini sebagai manusia biasa memang sukar untuk lari dari melakukan kesilapan. Kerana pembelajaran hidup selalunya akan disusuli dengan kesilapan agar kami kenal dan tidak lagi mengulangi kesilapan.

‘Puas’ bergaduh


Selama kurang lebih 9 jam kami berpasangan di dalam tahanan sebaik saja dijatuhi hukuman, tunggang terbalik dalam lori berescort selama 35 minit, bersesak dengan tahanan lain sampai aku muntah hijau.
Kami tersenyum sesama sendiri, berbual sesama sendiri, kami sudah ‘puas’ bergaduh sesama sendiri.Kami sedar, undang-undang bukan diciptakan untuk hukuman sebagai tujuan utama tetapi tujuan utama undang-undang adalah sebagai medium didikan.

Kami sudah puas menerima ‘sebatan didikan’ dari ‘ibu’ kami atas apa yang telah kami lakukan. ‘Ibu’ kami tidak lain dan tidak bukan adalah Malaysia. Hakikatnya kami sebenarnya adalah anak Malaysia. Kami sudah pun terdidik dengan hukuman undang-undang Malaysia  yang telah dilaksanakan dengan begitu adil sekali.

Jadikan kenangan


Ribuan terima kasih saya ucapkan pada kalian yang seagama dan sebangsa, juga yang bukan seagama dan bukan sebangsa yang banyak menghulurkan pelbagai jenis bantuan dan sokongan baik dari segi sokongan wang ringgit, material dan sokongan emosi sepanjang tempoh siasatan polis.
Budi baik kalian pasti akan dibalas Tuhan. Soal siapa salah, siapa menang, siapa sakit itu biarlah menjadi kenangan dan rekod peribadi kami berdua. Alangkah elok kiranya kita dapat hidup dengan baik bersama-sama.
Kenangan 20 september 2019 menjadi memori dan kesedaran pada kami terutamanya aku. Allah temukan aku dengan Saudara Ng Whye Hong untuk memberi pengajaran pada aku.

Post a Comment

0 Comments