Ditikam kerana tuntut hutang


HANYA mahu menuntut hutang, namun seorang lelaki maut ditikam rakannya berhampiran menara jam di hadapan Kompleks Bukit Jambul, Georgetown malam tadi.

Dalam kejadian pada 11.20 malam itu, Mohamad Nurulhudin Ismail, 31, ditikam di dada kanan hingga meninggal dunia di lokasi.


Sumber berkata, mangsa bertemu dengan suspek di kawasan berkenaan untuk membincangkan masalah hutang namun, berlaku pertengkaran antara mereka.

“Mangsa mahu menuntut hutang tetapi suspek berang dan kemudiannya menikam mangsa di dada sebelah kanan.

“Tikaman itu membuatkan mangsa rebah dan suspek bersama seorang lagi rakannya melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kata sumber lagi, suspek kemudian membuang pisau yang digunakan untuk menikam mangsa berhampiran restoran, berjarak 70 meter dari tempat kejadian.

“Pisau sepanjang 28 sentimeter itu ditemui seorang wanita yang kemudian menyerahkannya kepada polis, manakala sarung senjata itu ditemui berhampiran lokasi kejadian.

“Semakan melalui kamera litar tertutup (CCTV) juga menunjukkan suspek yang berbaju merah menikam mangsa dan terus melarikan diri bersama seorang rakannya,” katanya.

Polis sudah mengenal pasti identiti dua suspek terbabit yang berusia 33 dan 35 tahun dan kini sedang memburu mereka.

Sumber memaklumkan semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau bersabit jenayah dan juga dadah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:34 AM

#HarianMetro

Post a Comment

0 Comments