Cari individu penyebab kematian Adib


SIASATAN semula kematian Muhammad Adib Mohd Kassim akan dilakukan, susulan keputusan inkues yang mendapati anggota bomba itu meninggal dunia disebabkan impak perbuatan jenayah.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan sewajarnya akan diambil bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab terhadap kematian Muhammad Adib.
Katanya, sebelum ini, pihaknya berpuas hati untuk tidak mengenakan tuduhan kepada sesiapa disebabkan kekurangan bukti.
“Tetapi, sekiranya mahkamah memutuskan ada unsur-unsur itu (jenayah), kita akan semak kembali,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Inovasi PDRM di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kangar, hari ini.
Mengulas rumusan Mahkamah Koroner mengenai kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib, Abdul Hamid berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan pihaknya sudah baik.
“SOP dah ada, tidak perlu diubah, (dan) saya yakin SOP mantap, yang penting siapa pegawai pemerintah,” katanya
Ditanya sama ada suspek terdahulu akan dipanggil balik, Abdul Hamid berkata, perkara itu belum dibincangkan lagi.
Pagi hari ini, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan punca kematian Muhammad Adib disebabkan impak perbuatan jenayah oleh dua atau lebih orang tidak dikenali.

Post a Comment

0 Comments