Bukit Broga Terbakar


KUALA LUMPUR: Kawasan hutan seluas dua hektar di Bukit Broga, Semenyih, dikesan terbakar, petang tadi.
Susulan itu, seramai 25 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih serta Bangi dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
Ketua BBP Semenyih, Mohamd Darul Azreen Md Desa, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 4.30 petang.
Kebetulan pada ketika itu, beliau berkata, sepasukan 10 anggotanya berada di lokasi kerana melakukan pencarian pendaki yang tersesat ketika mendaki bukit berkenaan.
“Berdasarkan maklumat, api sudah meliputi kira-kira dua hektar kawasan terbabit, justeru bantuan diminta daripada BBP Bangi untuk membendung kebakaran daripada terus merebak.
“Api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 7.30 malam dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kebakaran berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab mereka yang melakukan aktiviti mendaki di bukit itu, namun enggan membuat kesimpulan terlalu awal.

Post a Comment

0 Comments