Saya mahu tuntut keadilan untuk Amirul Nashriq - Bapa Pelajar UPNM



GOPENG: Bapa Amirul Nashriq Othman, penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang lemas pada 24 Mac lalu, menuntut keadilan untuk anaknya yang didakwa ada unsur penderaan sebelum mangsa meninggal dunia.
Othman Yusoff, 51, berkata, keluarganya membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati dengan hasil siasatan polis serta laporan bedah siasat anaknya yang meninggal dunia pada usia 19 tahun itu.
$ads={1}
Menurutnya, laporan polis itu dibuat di Balai Polis Gopeng, 25 Mei lalu selepas melihat kecederaan dialami Allahyarham Amirul Nashriq termasuk kesan lebam yang terdapat pada badan mangsa dua hari sebelum kejadian.
"Kami sekeluarga tidak berpuas hati kerana autopsi dilakukan tanpa kebenaran saya sebagai waris, dan hanya menandatangani surat kebenaran sejurus sampai di Hospital Bentong, Pahang.
"Laporan itu amat mencurigakan kerana kesan lebam yang terdapat pada dada anak saya dikatakan berpunca daripada terkena batu semasa lemas, sedangkan dua hari sebelum itu arwah sempat hantar gambar kepada kami menunjukkan kesan lebam akibat dipukul oleh tiga pelajar senior," katanya.

$ads={2}
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Gopeng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja dekat sini hari ini.
Othman mendakwa, anaknya pernah memaklumkan mengalami kesan lebam akibat dipukul tiga pelajar senior sehingga sesak nafas.
"Anak saya sebelum ini menunjukkan gambar lebam di dada, dia kata kena pukul di bahagian ulu hati hingga senak bersama seorang lagi rakannya.
"Kami suruh beliau balik ke kampung namun apa yang peliknya dua hari kemudian, arwah bersama rakan lain ke kawasan air terjun dan meninggal dunia akibat lemas," katanya.
Dalam kejadian itu, Amirul Nashriq dikatakan pergi ke Air Terjun Chamang bersama tujuh rakan daripada universiti sama.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis, dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan mangsa lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di air terjun berkenaan.
Ketika mandi, mangsa dikatakan tiba-tiba tenggelam dan gagal dikesan sebelum timbul 15 minit kemudian dengan rakan-rakan mangsa cuba menyelamatkannya namun tidak berjaya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye menggesa pihak berkuasa untuk memulakan inkues mengenai perkara itu dan meminta Hospital Bentong membenarkan keluarga mangsa mendapatkan laporan bedah siasat selepas kematian mangsa.
"Sebagai doktor perubatan, saya tahu bahawa terdapat banyak kemungkinan bahawa kecederaan dalaman boleh mengakibatkan kematian.
"Pihak berkuasa perlu menyiasat kes ini dengan telus dan budaya membuli harus segera dihentikan di negara ini," katanya.
Sebelum ini, negara pernah digemparkan dengan berita pembunuhan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, yang meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun tahun lalu akibat kesan lebam dan melecur di badan, dipercayai didera rakan dengan seterika wap.
Kematiannya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan berikutan itu, polis menahan reman 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional bagi membantu siasatan kes itu.

Post a Comment

0 Comments