PASANG BENDERA TERBALIK BUKAN SATU KESALAHAN – ADUN DAP PERAK


KETIKA tindakan memasang Jalur Gemilang secara terbalik menjadi bantahan ramai pihak, seorang Exco kerajaan negeri Perak, Abdul Aziz Bari menyatakan ia bukan satu kesalahan kerana tidak melanggar undang-undang negara.
Abdul Aziz yang juga ADUN DAP Tebing Tinggi berkata, perbuatan tersebut tidak wajar dibesar-besarkan kerana ia hanyalah tindakan terpencil yang digembar-gemburkan di media sosial.
Naib Pengerusi DAP Perak itu tidak menolak kemungkinan ketiadaan undang-undang mengenainya adalah satu kesilapan atau terlepas pandang.
“Benda ni terlalu mudah ataupun cepat disebarkan, tersebarkan cuma setahu saya tak ada kesalahan. Ada undang-undang ke yang menyatakan salah pasang bendera terbalik?
“Cuma jangan dipanaskan lah. Kalau kadang-kadang tersilap ataupun terlepas pandang, jadi jangan kata ini perbuatan tidak patriotik perbuatan anti tu, anti ni, jadi jangan digambarkan begitu,” katanya.
Beliau berkata, perkara tersebut mungkin dibuat pihak tertentu secara berjenaka sahaja tetapi kemudian ia dibahas dan dibincangkan mengikut konteks yang tidak sepatutnya, lebih-lebih lagi menjurus kepada aspek perkauman.
“Jangan kata ini perbuatan tidak patriotik, anti itu dan ini. Saya fikir bendera terbalik ini orang buat lawak jer … apanya nak dikatakan tidak patriotik, apa ni? kita dalam Malaysia Baharu lebih ‘open‘ dan terbuka,” katanya
Beliau ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan warga Jabatan Pendidikan negeri Perak serta wakil-wakil persatuan pendidikan di sini pada Khamis.
Beliau diminta mengulas mengenai laporan polis yang dibuat oleh 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak pada Rabu yang mendesak pihak polis membuat siasatan dan mengambil tindakan tegas dalam isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik yang tular di media sosial.
Abdul Aziz berkata, setakai ini, belum ada laporan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sekolah-sekolah di seluruh negeri Perak.

Post a Comment

0 Comments