BANGI – Pemergian Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29, yang meninggal dunia dilanggar kereta selepas kejadian perselisihan faham dengan pemandu lain di susur Bandar Baru Bangi semalam, memberi kesan kesedihan amat mendalam terhadap ahli keluarganya.
Lebih-lebih lagi tentang masa depan bayi perempuannya yang belum sempat mengenali wajah dan mendapat kasih sayang daripada ayahnya.
$ads={1}
Kematian Allahyarham secara mengejut dalam keadaan sedemikian adalah sesuatu tidak dijangkakan oleh ahli keluarganya.
Namun, bapa mertuanya, Mohd Rozhan Ramli berkata, mereka redha dan menyerahkan tanggungjawab kepada pihak berkuasa polis untuk menyiasat tragedi yang menimpa menantu kesayangannya itu.
“Saya terima keadaan ini (pemergian Muhammad Danial) dan serah kepada pihak berkuasa untuk buat siasatan. Saya berharap kematiannya dapat keadilan sewajarnya.
“Cuma kami sekarang sangat sedih keadaan bayi perempuan dia baru 4 bulan tidak sempat merasai ciuman dan dakapan arwah. Jadi saya perlu menguatkan diri demi cucu dan anak perempuan saya demi kelangsungan hidup dan masa depan cucu saya.
$ads={2}
“Anak perempuan saya (balu arwah) tenang menerima pemergiannya dan kita sebagai Islam menerima qadak dan qadar, sebagai ibu bapa kami yang perlu tabah dan kuatkan diri demi masa depan anak cucu,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas upacara pengkebumian Allahyarham di Tapak perkuburan Islam Seksyen 6, Bandar Bukit Mahkota di sini.

Mohd Rozhan berkata, Allahyarham merupakan anak yang baik dan begitu menghormati orang tuanya.
“Menantu ini (Muhammad Danial) adalah seorang Hafiz yang hafal al-Quran, sangat hormati orang tua.
“Walaupun dia tinggal dengan saya di sini Bandar Putra, setiap minggu dia tak pernah lupa bawa keluarga kecil mereka jumpa emak dia Shah Alam dan itu rutin setiap Jumaat selama lebih setahun ini,” katanya sambil sebak mengenangkan arwah.
Menurutnya, arwah dan isterinya menuntut bersama di United Kingdom sebelum mendirikan rumah tangga dan kedua-duanya bekerja sebagai pengurus bank.
“Arwah bekerja sebagai pengurus di Ibu Pejabat Maybank di Jalan Tun Perak manakala anak saya (balu arwah) Pengurus bank United Oversea Bank (UOB) di Jalan Melaka,” katanya.
Katanya, semasa kejadian arwah dalam perjalanan balik ke Bandar Bukit Mahkota dengan membawa piza.
“Saya terjumpa pizza yang dibelinya dalam keretanya di lokasi kejadian semalam,’ katanya sebak. – MalaysiaGazette

Post a Comment

Previous Post Next Post