Akibat cemburu, lelaki cederakan bekas teman wanitanya hingga terburai isi perut.


AKIBAT cemburu, lelaki naik angin dan menikam kekasih bekas teman wanitanya dalam kejadian di sebuah pub di Lorong Abu Siti, Georgetown, hari ini.
Dalam kejadian 1.15 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun terburai isi perut akibat ditikam suspek, manakala pemilik premis yang berusia 46 tahun pula turut cedera selepas ditikam di tangan.


Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, suspek yang berusia 54 tahun yang memakai topi keledar masuk ke dalam pub berkenaan dan terus menikam mangsa.
“Pemilik pub yang turut berada dalam premis itu cuba menahannya namun suspek menikam lelaki terbabit di tangan sebelum dia melarikan diri dengan menunggang motosikal.
“Kedua-dua mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang dan hasil siasatan lanjut, bekas teman wanita suspek memberitahu yang lelaki berkenaan cemburu kerana dia keluar bersama kekasih barunya,” katanya.

Che Zaimani berkata, siasatan mendapati suspek dan bekas teman wanitanya tinggal bersama sejak enam tahun lalu dan mereka turut menjalankan perniagaan nasi ayam bersama.
“Suspek yang sudah berkahwin itu bagaimanapun berpisah dengan bekas teman wanitanya sejak sebulan lalu dan mereka berdua sudah tidak tinggal bersama.
“Bagaimanapun, suspek tidak dapat menerima hakikat yang bekas teman wanitanya itu mempunyai teman lelaki baru dan dia yang cemburu menikam mangsa dalam pub berkenaan,” katanya.

Menurutnya, susulan daripada itu, polis berjaya menahan suspek jam 6 pagi, hari ini di Pulau Tikus dan dia turut mengaku menikam mangsa kerana lelaki terbabit keluar bersama bekas teman wanitanya.
“Pemeriksaan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan dia juga tidak berada di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Post a Comment

0 Comments