22 YDP SJK Tamil Kuala Muda, Yan sokong pelaksanaan tulisan khat, Jawi

SUNGAI PETANI – Ketika orang lain membantah pelaksanaan pembelajaran seni khat dan tulisan Jawi, lain pula terjadi di sini.
Seramai 22 orang Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) daerah Kuala Muda dan Yan di sini, menyambut baik usaha memperkenalkan warisan negara itu di peringkat sekolah.
Malah Pengerusi Kedah Tamil Foundation, G. Kumaran menganggap pembelajaran seni dan tulisan itu di sekolah adalah sebagai nilai tambah ilmu kepada generasi muda pelbagai kaum di negara ini selain mampu memupuk hubungan baik sesama rakyat.
Katanya, kesemua pengurusan SJKT di daerah itu menyambut baik dan menyokong sebulat suara hasrat Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi di sekolah-sekolah berkenaan.
“Kita telah mengadakan perbincangan secara bersama dan bersetuju untuk seni dan tulisan ini (khat dan Jawi) diperkenalkan di sekolah untuk generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama Pengerusi PIBG dari SJKT daerah Kuala Muda dan Yan di Pejabat Kedah Tamil Foundation Taman Cindai Jaya, di sini, pada Sabtu.
Beberapa buah sekolah vernakular di sekitar Lembah Klang dipercayai telah mula menaikkan kain rentang sebagai tanda membantah pembelajaran tulisan Jawi dan seni khat di sekolah tersebut.
Tindakan itu dilakukan susulan Kementerian Pendidikan memberi kelonggaran kepada PIBG, ibu bapa dan murid di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) untuk memutuskan sendiri pengajaran tersebut.
Menurut Kumaran, beliau percaya ramai kaum India yang membantah pengenalan tulisan itu di SJKT adalah disebabkan kerana tidak mendapat penerangan secukupnya daripada pihak Kementerian Pelajaran.
“Begitu juga kalangan pemimpin PIBG daerah ini yang sebelum ini membantah disebabkan tidak mendapat gambaran tepat dan jelas mengenai pelaksanaan tulisan khat dan Jawi sehingga menjadi isu sensitif.
“Setelah mendapat penerangan jelas, kami sebulat suara bersetuju dan sedia menyokong dasar-dasar pendidikan ini,” katanya lagi.
Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Ogos lalu membuat keputusan mengekalkan keputusannya sebelum ini supaya pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid sekolah rendah tahun empat di SJK mulai 2020 diteruskan, tetapi dilaksanakan hanya jika dipersetujui oleh PIBG serta ibu bapa dan murid di SJK tersebut.
Pembelajaran di Sekolah Kebangsaan akan teruskan seperti biasa dan Jemaah Menteri turut mengekalkan keputusan untuk pengenalan tulisan Jawi itu dimuatkan sebanyak tiga muka surat di dalam buku teks – Utusan Online

Post a Comment

0 Comments