Tubuh hancur digilis lori. Permintaan terakhir gadis ini undang sebak.

‘MAK, doakan saya selamat sampai rumah tengah hari ini ya,’
Itu pesanan terakhir Haslinda Haraji, 24, kepada ibunya sebelum maut apabila motosikal dibonceng bergesel dengan lori pasir di persimpangan berhampiran Jalan Hamzah Alang, Meru, Klang, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, Haslinda maut di tempat kejadian manakala rakannya, Amirul Fikri Daniel Afan, 19, yang juga anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) cedera di bahu kiri.
Abang mangsa, Sakaran, 35, berkata kira-kira lima minit sebelum kejadian, adiknya membonceng motosikal ditunggangi Amirul untuk membeli barangan keperluan.
“Sebelum keluar, emak beritahu dua kali adik minta emak doakannya supaya selamat pulang ke rumah.
“Bila emak tanya kenapa cakap macam itu? Adik cuma cakap doakan sahaja dia selamat,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Sakaran berkata, kurang lima minit selepas itu, ibunya yang berada di rumah dikejutkan berita Haslinda terbabit kemalangan berhampiran rumah dengan keadaan tubuhnya hancur digilis lori.
Katanya, jarak antara tempat kejadian dengan rumah mereka adalah kira-kira satu kilometer.
“Saya tidak tahu adik mempunyai kawan lelaki. Mengikut cerita emak, adik memang merancang untuk bertunang dengan anggota tentera (Amirul) itu hujung tahun ini.
“Kejadian ini mengejutkan kami kerana kami 10 beradik sangat rapat, namun reda dengan ujian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh, berkata kemalangan jam 11.30 pagi tadi berlaku selepas motosikal ditunggang Amirul bergesel dengan sebuah lori dipercayai membawa muatan pasir.
Katanya, akibat geseran itu, Haslinda yang membonceng motosikal terjatuh dan digilis serta terheret beberapa meter hingga parah di bahagian badan.
“Penunggang motosikal patah tangan dan cedera di bahu kanan serta menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
“Pihak polis masih mengesan lori terbabit kerana difahamkan pemandu itu melarikan diri selepas kemalangan,” katanya sambil meminta saksi yang melihat tampil ke balai polis berhampiran.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Post a Comment

0 Comments