'Tolong cari mak saya...' - Rintih anak yang terpisah dengan ibunya 14 tahun lalu.


“INI percubaan kedua saya mencari mak menggunakan media sosial selepas pernah mencubanya tahun lalu.
“Tengok kawan-kawan pun rapat dengan mak, tipulah kalau saya tidak pernah rasa sedih dan kecewa,” luah Nur Rabiatul ‘Adawiyah Shamsul Annuar, 20, yang tidak pernah berputus asa mencari ibunya, Nor Asnidal Md Noor, yang menghilangkan diri sejak 14 tahun lalu.
Kisah Rabiatul cuba mencari Nor Asnidal di media sosial mulai tular di Twitter, awal hari ini.
Rabiatul ketika dihubungi Harian Metro, berkata kali terakhir dapat berhubung dengan ibunya kira-kira 10 tahun lalu.
“Kali terakhir jumpa mak pada usia 6 tahun dan dapat berhubung dengannya kira-kira 10 tahun lalu apabila saya pulang ke kampung mak di Batu Kurau.
“Saya dapat nombor telefon dari saudara mara mak yang ditemui di sana. Selepas beberapa kali cuba menelefon berpandukan beberapa nombor diberikan, akhirnya saya dapat bercakap dengannya.
“Ketika itu, mak mendakwa berada di Melaka dan akan ke Sabah atas urusan kerja. Selepas itu, kami terus terputus hubungan kerana arwah nenek tidak membenarkan saya mencarinya lagi,” katanya yang berasal dari Ipoh.
Katanya, selepas neneknya meninggal dunia pada Ramadan tahun lalu, barulah dia mendapat keberanian mencari ibu kandungnya menggunakan ‘kuasa’ media sosial.
Malangnya, selepas status mencari ibu kandung dimuat naik di akaun Twitter tahun lalu, akaun itu disekat.
“Kebetulan baru-baru ini, saya berjaya mendapat kembali akaun dulu dan mencuba nasib menularkan status itu sekali lagi.
“Syukur ramai yang cuba membantu, termasuk ada yang menawarkan bantuan mencari maklumat berkaitan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.
Katanya, setakat ini dia hanya mempunyai nama penuh ibu, nombor kad pengenalan lama, selain beberapa keping foto ibunya dalam simpanan peribadi.
Dia berharap usaha kali ini membuahkan hasil apatah lagi bapanya turut merestui proses pencarian dengan membantu mencarikan wanita itu di laman sosial Facebook.

Post a comment

0 Comments